
Pada awal bulan lepas, Microsoft telah memperkenalkan komputer riba mampu-milik mereka, Microsoft Surface Laptop Go 2 yang memperlihatkan spesifikasi kelas pertengahan yang cukup berkuasa untuk digunakan untuk tujuan produktiviti harian.

Komputer riba tersebut hadir dengan paparan skrin PixelSense bersaiz 12.4 inci dengan resolusi 1536×1024 piksel bersama nisbah paparan 3:2 yang menyerupai sekeping kertas A4 apabila diletakkan dalam kedudukan melintang.
Dari segi spesifikasi dalaman, komputer riba ini dikuasakan oleh CPU Intel Core i5-1135G7 dengan memori DDR4 sehingga 8GB dan storan dalaman SSD sehingga 512GB. Dari segi grafik pula, Surface Laptop Go 2 ini menggunakan cip grafik Intel Iris Xe yang terbina didalam bahagian CPU.

Komputer riba ini juga hadir dengan sebuah ciri menarik dimana bahagian storan SSD boleh ditukar dan dinaiktaraf sekiranya diperlukan. Ia juga hadir dengan sistem operasi Microsoft yang terbaru, Windows 11 terpasang didalamnya.

Microsoft Malaysia hari ini mengumumkan bahawa komputer riba tersebut sudah mula dijual di pasaran tempatan dalam dua konfigurasi, yang mana perbezaannya hanyalah dari segi storan SSD yang ditawarkan:
- Microsoft Surface Laptop Go 2 (Intel Core i5, 8GB RAM, 256GB SSD) – RM3488
- Microsoft Surface Laptop Go 2 (Intel Core i5, 8GB RAM, 512GB SSD) – RM3788
Microsoft Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudah mula ditawarkan di pengedar peranti dan aksesori Microsoft seperti Harvey Norman, All IT, Gloo By SNS Network, PC Image, Senheng dan TMT.
