Jika anda membaca Amanz sejak awal tahun ini, trend pasaran sekarang ialah menaikkan harga langganan seperti dilakukan oleh Netflix, YouTube dan Adobe. Tidak terhenti di situ, harga peranti juga naik seperti tekanan darah kerana RAMageddon dipacu oleh permintaan pusat data kecerdasan buatan (AI). Maka pagi ini kami dikejutkan dengan berita harga langganan PC Game Pass kini diturunkan semula ke RM20 sebulan selepas ia dinaikkan ke RM25 pada Oktober tahun lalu.

Penurunan harga ini dilakukan sendiri ketua baharu Microsoft Gaming Asha Sharma menerusi akaun media sosial beliau. Ia dilihat sebagai strategi untuk mengembalikan semula kepercayaan pemain kepada platform Xbox serta PC yang dilihat telah menyerah kalah kepada PlayStation.
Walau harga PC Games Pass kini lebih murah, ia hadir dengan pengumuman permainan terbaru siri Call of Duty tidak lagi disertakan pada hari pertama pelancarannya selepas ini. Sebaliknya ia hanya akan memasuki katalog Game Pass setahun selepas dilancarkan.
Dari sudut matematik, anda jimat RM60 setahun tetapi tiada CoD baharu boleh diakses sehinggalah setahun selepas itu. Ini menyamai strategi Sony yang tidak menawarkan permainan studio mereka sendiri menerusi PlayStation Game Catalog pada hari pertama. Ia hanya ditawarkan setahun atau dua tahun selepas dijual.




