MIDA diperkasa sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara
diyana
22/05/2023 - 16:45
KUALA LUMPUR 22 Mei - Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) yang telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk memperkasakan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara.
Menteri Pelaburan, Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata langkah tersebut adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk menyusun semula ekosistem Agensi Penggalakan Pelaburan (IPA) negara yang akan dimulakan dengan penyelarasan fungsi dan peranan agensi itu serta koridor ekonomi wilayah berkaitan pelaburan secara berfasa.
Beliau berkata selaku badan eksekutif tertinggi dalam merencanakan agenda berkaitan pelaburan, MPN juga bertanggungjawab untuk menangani isu dan cabaran utama dalam pelaksanaan projek-projek pelaburan, terutamanya pelaburan strategik dan berimpak tinggi bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek tersebut.

“Dari segi pemerkasaan MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara, pengukuhan fungsi penyelenggaraan akaun dan pemusatan pelaporan maklumat terkini pelaburan di bawah satu platform atau dashboard tunggal juga akan menangani isu-isu pelabur secara tangkas serta menyokong penggubalan dasar untuk pembangunan industri, insentif galakan pelaburan dan memudah cara perjalanan pelabur serta fasilitasi pelaburan yang berkesan,” kata Tengku Zafrul dalam satu kenyatan hari ini.
Jelas beliau, hasrat ini selaras dengan teras strategik di bawah Dasar Pelaburan Baharu (NIP) berteraskan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) yang menggariskan keperluan menambah baik landskap IPA negara agar lebih terancang sekaligus memudahkan perjalanan pelabur.
“Sehubungan itu, keputusan menjadikan MIDA sebagai agensi penggalakan pelaburan utama negara adalah juga sebahagian daripada usaha MPN untuk menambah baik dan memperkasakan ekosistem serta landskap pelaburan negara,”tambahnya.
Menurut beliau, ini memastikan pendekatan menyeluruh kerajaan dari segi aktiviti penggalakan pelaburan negara secara lebih tersusun, efisien, berfokus, berstruktur dan sistematik.
Selain itu, Malaysia dapat mengoptimumkan sumber sedia ada bagi mengatasi isu pertindihan tanggungjawab di antara IPA sekaligus menjamin penyampaian perkhidmatan IPA yang lebih berkesan.
Ia memastikan tadbir urus IPA lebih tersusun kerana ia juga merupakan faktor penting bagi pelabur membuat keputusan dan menilai Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Di samping itu, ini akan meningkatkan dan mengekalkan pelaburan langsung asing (FDI) dan juga pelaburan langsung domestik (DDI), memastikan FDI dan DDI membawa kepada kesan limpahan positif kepada ekonomi dan rantaian bekalan domestik, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan serta rakyat Malaysia selaras dengan objektif Aspirasi Pelaburan Nasional. -DagangNews.com


