MIDA: Malaysia tarik pelaburan diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama 2023

Business & Finance
29 May 2023 • 5:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDA: Malaysia tarik pelaburan diluluskan berjumlah RM71.4 bilion pada suku pertama 2023

diyana

29/05/2023 - 17:09

KUALA LUMPUR 29 Mei - Malaysia telah menarik pelaburan diluluskan berjumlah RM71.4 bilion dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama bagi suku pertama 2023, menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Dalam satu kenyataan hari ini, agensi itu berkata pelaburan tersebut melibatkan 1,265 projek yang dijangka menjana 23,977 peluang pekerjaan baharu.

Dengan landskap pelaburannya yang kondusif, MIDA berkata Malaysia terus memperoleh lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) berbanding pelaburan langsung domestik (DDI), di mana FDI telah menyumbang RM37.5 bilion atau 52.5% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan.

Singapura mendahului pelaburan diluluskan itu dengan RM11.5 bilion, diikuti British Virgin Islands (RM7.1 bilion), China (RM6.5 bilion), Hong Kong (RM2.9 bilion) dan Korea Selatan (RM2.5 bilion).

Sementara itu, DDI menyumbang RM33.9 bilion, mencerminkan keyakinan baharu pelabur tempatan terhadap kemajuan dan prospek ekonomi Malaysia.

“Bagi projek diluluskan mengikut negeri, lima negeri teratas yang menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan ialah Kuala Lumpur dengan RM21.8 bilion, diikuti Johor (RM10.6 bilion), Selangor (RM7.4 bilion), Perak ( RM7.1 bilion) dan Sabah (RM6.3 bilion),” kata MIDA.

Dari segi sektor pula, sektor perkhidmatan mendapat pelaburan diluluskan terbesar pada RM53.6 bilion (lebih 12,000 peluang pekerjaan), diikuti oleh sektor pembuatan (RM15.6 bilion, lebih 11,900 pekerjaan baharu), dan sektor utama (RM2.2 bilion).

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keupayaan Malaysia menarik RM71.4 bilion pelaburan diluluskan bagi suku tersebut menunjukkan daya tarikan berterusan negara sebagai hab pelaburan.

“Kedua-dua pelaburan langsung asing dan pelaburan domestik hampir sepadan menyamai nilai satu sama lain. Dari perspektif domestik, ini jelas mencerminkan keyakinan baharu terhadap prospek pertumbuhan Malaysia.

“Semua ini akan memberi kesan positif, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam rantaian bekalan domestik kita dan kepada rakyat dari segi gaji yang lebih baik, membantu menyokong ekonomi kita dalam menghadapi pelbagai cabaran global tahun ini,” katanya.

Menurut MIDA, pada masa ini terdapat 878 projek dengan cadangan pelaburan berjumlah RM35.9 bilion untuk projek dalam saluran dan RM150.4 bilion untuk projek utama.

Sektor pembuatan mendahului dengan 78.8% (RM28.3 bilion) projek saluran, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 21.2% (RM7.6 bilion), mempamerkan portfolio pelaburan yang pelbagai. -DagangNews.com