MIDE sasar RM50 juta nilai potensi jualan usahawan Sabah

LocalBusiness & Finance
13 Jul 2024 • 3:12 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

By: Ricardo Unto

KEMENTERIAN Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah (MIDE) menyasarkan nilai potensi jualan RM50 juta untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Sabah tahun ini, berbanding RM30.25 juta tahun lepas.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata, jika sasaran ini dapat dicapai maka anggaran peratus pencapaian nilai potensi jualan Usahawan PKS Sabah dapat ditingkatkan sebanyak 40 peratus berbanding pencapaian tahun lepas.

Antara ekspo yang telah dan akan disertai tahun ini iaitu Gulfood Expo di Dubai, Foodex di Tokyo, Thaifex Anuga Asia di Bangkok, World’s Food Expo di Manila, HKTDC Food Expo Pro di Hong Kong dan MIHAS @Dubai, katanya.

“Hasil penyertaan enam ekspo yang telah berlangsung, usahawan PKS Sabah berjaya menjana nilai jualan kaunter sebanyak RM830,000 dan potensi jualan sebanyak RM30.3 juta.

SPONSORED CONTENT Shell awards Sabah LiveWIRE winners Kota Kinabalu: Shell has awarded five enterprises as the state winners of Shell LiveWIRE Malaysia 2024, following the Sabah state finals held at Plaza Shell in Kota Kinabalu. . Read more “Nilai ini telah melepasi pencapaian pada tahun lepas dan diharap sasaran yang ditetapkan dapat dicapai,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Suhaimi Nasir (Adun Dilantik) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Khamis.

Beliau berkata kerajaan Sabah bersama Persatuan-persatuan badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Cina tempatan dan Dewan-dewan Perniagaan Cina akan menganjurkan Sabah-China Business Summit 2024 (SCBS2024) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, dari 22 hingga 24 November.

“SCBS 2024 ini dilaksanakan sempena sambutan ulang tahun yang ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan China, khususnya Sabah dan China.”

Beliau berkata Kementeriannya telah menggariskan beberapa program untuk meningkatkan keupayaan PKS di Sabah.

Antara inisiatif itu ialah program SME-Up di bawah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

“Program ini dirangka untuk membantu usahawan meningkatkan kapasiti pengeluaran dan kualiti produk yang berpotensi untuk dikomersialkan di dalam dan luar Sabah.

“Kategori bantuan yang ditawarkan tahun ini termasuk mesin dan peralatan serta peningkatan kualiti pembungkusan.

“Usahawan yang berminat boleh memohon tahun ini melalui portal SME-Up di laman web DIDR,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian juga melaksanakan Program Transformasi Usahawan Sabah atau Trus-MIDE bagi membantu usahawan meningkatkan kualiti pembungkusan untuk menembusi pasaran pasar raya tempatan dan antarabangsa.

Bantuan yang ditawarkan kepada produk usahawan termasuk reka bentuk produk baharu, maklumat pemakanan, percetakan kod bar dan maklumat tarikh luput.

“Kementerian juga komited untuk menganjurkan pelbagai kursus pembangunan keusahawanan bagi membantu usahawan meningkatkan kemahiran mereka untuk mengembangkan potensi perniagaan.”

Antara kursus yang dianjurkan oleh Kementerian ialah kursus pensijilan “Makanan Selamat Tanggungjawab Industri” (Mesti), kursus peningkatan kualiti produk melalui teknologi retort, kursus pematuhan pensijilan halal, dan program pemerkasaan usahawan Sabah (Push).

Di samping itu, DIDR bekerjasama dengan pasar raya tempatan seperti Bataras Hypermarket dan Kedai Mesra Petronas untuk membantu usahawan tempatan memasarkan produk mereka.

“Melalui kerjasama ini, jualan produk usahawan tempatan mencatatkan jumlah yang memberangsangkan.

“Sebagai contoh, produk usahawan di Bataras Hypermarket mencatatkan jualan RM3.64 juta pada 2023.

“Manakala, jualan di Petronas Kedai Mesra berjumlah RM2.46 juta,” katanya.

Beliau berkata MIDE juga menganjurkan Karnival PMKS Sabah – satu program untuk membantu usahawan meneroka peluang pasaran baharu, meningkatkan jualan, menjalankan pemadanan perniagaan dengan pasar raya tempatan, dan mempromosikan produk mereka.

“Tahun ini, dua Karnival PMKS Sabah telah diadakan di Luyang dan Tawau.

“Dua lagi Karnival PMKS Sabah akan diadakan di Keningau dari 26 hingga 28 Julai dan di Beaufort pada Oktober,” katanya.

“Saya berharap Usahawan PKS, khususnya di Sabah mampu memanfaatkan peluang yang ada seperti program, kursus dan bantuan disediakan di bawah kementerian saya agar mampu bersaing diperingkat global dan seterusnya meningkatkan ekonomi Sabah,” katanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.