MIDF, AKPK jalin kerjasama beri 'talian hayat' kewangan kepada PKS bersasar

Business & Finance
4 Oct 2023 • 9:21 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF, AKPK jalin kerjasama beri 'talian hayat' kewangan kepada PKS bersasar

zulfadli

04/10/2023 - 09:21

KUALA LUMPUR 4 Okt - Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) menjalin kerjasama dalam penyediaan rumusan perniagaan yang dihadapi seperti cabaran dan kesukaran kewangan, terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia termasuk menawarkan akses bantuan pembiayaan, khidmat nasihat dan panduan perniagaan bagi membolehkan mereka mengatasi cabaran tersebut, merangsang pertumbuhan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, MIDF dan AKPK akan menyediakan bantuan kewangan melalui skim Pembiayaan Peluang Kedua (2CF) MIDF yang dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada 16 Jun lalu.

Tengku Zafrul berkata, perubahan mendadak dalam keadaan pasaran, gangguan tidak dijangka, atau pergelutan dalaman boleh mendorong syarikat berpotensi ke ambang kegagalan dan boleh membawa kesan yang meluas kepada keseluruhan rantaian bekalan pengeluaran, merangkumi pembekal, pelanggan, pekerja dan mungkin masyarakat sekitarnya.

"Oleh itu, memperkasakan syarikat-syarikat ini dengan sokongan kewangan yang membantu pemulihan perniagaan mereka adalah penting dalam memastikan bahawa rantaian bekalan kekal utuh yang juga penting untuk pembangunan sosio-ekonomi negara.

"Bagi tujuan itu, kerjasama MIDF-AKPK sebagai 'ekosistem pemulihan' amatlah penting dan holistik dari segi menyokong syarikat bermasalah, terutamanya PKS," katanya dalam kenyataan media di sini.

Terdahulu, pertukaran memorandum persefahaman (MoU) itu berlangsung antara Ketua Pegawai Eksekutif MIDF Bhd, Azizi Mustafa dan Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir, dan disaksikan oleh Tengku Zafrul.

image is not available
(Dari kiri) Azizi Mustafa, Pengerusi MIDF, Tan Sri Abdul Rahman Mamat, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Building Society Bhd, Mohamed Rafe Mohamed Haneef dan Azaddin Ngah Tasir ketika majlis pemeteraian MoU antara MIDF dan AKPK di Menara MITI pada 3 Oktober 2023.

Skim 2CF berfungsi sebagai talian hayat untuk PKS terpilih dengan menawarkan rumusan yang amat diperlukan untuk menangani halangan kewangan dan memanfaatkan peluang baharu.

2CF menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta untuk aset serta pembiayaan modal pada kadar pembiayaan 3% setahun.

Dengan menerima bantuan kewangan melalui skim Pembiayaan Peluang Kedua ini, PKS mempunyai cara untuk memulih dan mengekalkan perniagaan seterusnya melabur dalam operasi, meningkatkan daya saing dan mengembangkan jangkauan pasaran.

image is not available

Suntikan dana ini akan memperkasakan mereka untuk mengatasi kekangan aliran tunai, mendapatkan sumber yang diperlukan untuk perniagaan dan menyelesaikan hutang tertunggak.

Dengan menyediakan sumber dan inisiatif pembiayaan alternatif seperti skim Pembiayaan Peluang Kedua, kerajaan menyasarkan dapat memperkasakan PKS melalui agensi seperti MIDF. - DagangNews.com