MIDF Research kekal unjuran perdagangan runcit berkembang 5% pada 2024

LocalBusiness & Finance
8 Aug 2024 • 6:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF Research kekal unjuran perdagangan runcit berkembang 5% pada 2024

azan

08/08/2024 - 18:09

KUALA LUMPUR 8 Ogos - MIDF Research mengekalkan ramalan perdagangan runcit berkembang sebanyak 5% pada tahun ini.

Katanya, sehingga separuh pertama 2024, jualan dagangan pengedaran Malaysia meningkat sebanyak 5.9%.

Firma penyelidikan itu berkata, jualan kenderaan bermotor dan perdagangan runcit masing-masing meningkat sebanyak 7.5% dan 6.3%, manakala perdagangan borong meningkat sebanyak 4.7%.

"Memandang ke hadapan, momentum permintaan domestik yang stabil dijangka berterusan pada 2024, disokong oleh pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan, pertumbuhan gaji positif, peningkatan lebih baik dalam aktiviti pelancongan dan dasar ekonomi yang menyokong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

Terdahulu, jumlah itu bagaimanapun lebih rendah berbanding Mei 2024 yang mencatatkan jualan perdagangan borong dan runcit bulanan berjumlah RM147.9 bilion.

Peningkatan sebanyak 5.4% tahun ke tahun bagi perdagangan borong & runcit pada Jun 2024 dipacu oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat 7.9% kepada RM64.1 bilion.

Perdagangan borong juga bertumbuh 4% untuk mencatatkan RM64.9 bilion, diikuti oleh kenderaan bermotor dengan peningkatan 2.0% untuk mencapai RM17 bilion.

Bagaimanapun, peningkatan tekanan inflasi boleh menjejaskan permintaan pengguna, bergantung kepada kesan potensi pendekatan subsidi bahan api yang disasarkan dan turun naik dalam harga komoditi global.- DagangNews.com