MIDF Research positif terhadap cadangan Mah Sing beli tanah RM76 juta di Johor untuk bina kediaman
diyana
14/06/2023 - 09:49
KUALA LUMPUR 14 Jun - MIDF Research positif terhadap cadangan Mah Sing Group Berhad untuk membeli tanah di Johor dengan pertimbangan berjumlah RM76 juta bagi mengembangkan projek mampu miliknya, M-Series dengan pembangunan kediaman bertanah dinamakan M Tiara.
Firma penyelidikan itu berkata pengambilalihan tanah itu merupakan yang kedua bagi kumpulan itu pada 2023 selepas pembelian tanah di Puchong dalam Januari tahun ini.
“Sementara itu, kos tanah kepada nilai pembangunan kasar (GDV) iaitu RM480 juta dianggap menarik pada 16% daripada GDV.
“Pengambilalihan tanah itu sejajar dengan strategi pemulihan pantas Mah Sing kerana pendaftaran minat dijangka pada separuh pertama 2024,” katanya dalam nota hari ini.
MIDF Research tidak menjangkakan pembelian tanah baharu itu untuk membangunkan kediaman M Tiara beri kesan pendapatan dalam jangka masa terdekat kerana projek dijangka dilancarkan pada separuh pertama tahun depan.
Oleh itu, firma penyelidikan itu tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan kumpulan.
Menurutnya, pembiayaan pengambilalihan itu dijangka beri kesan yang terhad ke atas kunci kira-kira.
Bagaimanapun, firma itu menganggarkan penggearan bersih meningkat sedikit kepada 0.22 kali daripada 0.2 kali pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) selepas pengambilalihan tanah tersebut.
“Kami kekal positif terhadap Mah Sing berikutan prospek jualan baharunya didorong oleh pelancaran hartanah pada harga berpatutan.
“Selain itu, hasil dividen juga menarik pada 5.7%. Oleh itu, kami mengekalkan saranan ‘beli’ kami pada Mah Sing,” tambahnya dalam nota hari ini.
Saranan ‘beli’ itu dikekalkan dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada 75 sen sesaham.
Saham Mah Sing setakat pukul 9:45 pagi ini telah menokok 0.5 sen atau 0.8% kepada 60 sen sesaham dengan modal pasaran berjumlah RM 1.46 bilion. -DagangNews.com



