MIDF Research positif terhadap kontrak baharu Pekat bernilai RM21.8 juta daripada Gamuda
herman
13/08/2024 - 16:27
KUALA LUMPUR 13 Ogos - MIDF Research positif dengan kontrak terbaharu diraih Pekat Group Berhad (Pekat) kerana kumpulan itu terus mengikuti strateginya untuk mengambil projek perlindungan kilat dan pembumian (ELP) yang pesat sejak tahun kewangan 2023 (FY23).
Firma penyelidikan itu berkata, ini selaras dengan trend peningkatan pembinaan bangunan industri seperti pusat data.
"Kami kekalkan cadangan 'BELI" terhadap Pekat, memandangkan prestasi konsisten syarikat dan prospek cerah dengan dasar-dasar yang menggalakkan seperti Program Kuasa Hijau Korporat (CGPP), Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Projek Solar Berskala Besar 5 (LSS5).
"Kami juga optimis cadangan pengambilalihan 60% Apex Power oleh kumpulan, yang akan memberikan kawalan ke atas EPE Switchgear.
"Ini membolehkan mereka mengembangkan perniagaan ke dalam peralatan pengagihan kuasa dan memasuki pasaran asing baru, yang dijangka memperkukuhkan untung bersih syarikat secara signifikan bermula FY25," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pekat Group Bhd menerusi Pekat E & LP Sdn Bhd baru-baru ini mengumumkan menerima subkontrak bernilai RM21.8 juta daripada Gamuda Engineering Sdn Bhd bagi pemasangan sistem pembumian dan pelindung kilat bagi pusat data di Rawang, Selangor.
Sementara itu, MIDF Research berkata, Pekat dijangka mengumumkan keputusan suku kedua 2024 (2QFY24) pada 21 Ogos dan prestasinya dijangka sejajar dengan jangkaan pihaknya dengan hasil sekitar RM8 juta hingga RM9 juta untuk separuh pertama 2024 (1HFY24).
"Ini akan dipacu terutamanya oleh projek solar komersial dan industri (C&I) serta pemasangan solar di bumbung kediaman," jelasnya.
Firma penyelidikan itu berkata, kemenangan kontrak terbaharu ini meningkatkan jumlah buku pesanan tertunggak Pekat kepada kira-kira RM206.8 juta, dengan sebahagian besar daripada projek solar bumbung.
"Kami menjangkakan angka ini akan meningkat kepada kira-kira RM320 juta menjelang 4QCY24 apabila Pekat memperoleh pekerjaan EPCC berkaitan dengan CGPP.
"Harap maklum bahawa semua loji kuasa solar di bawah CGPP perlu disiapkan selewat-lewatnya pada tahun 2025, kecuali jika diluluskan sebaliknya oleh Suruhanjaya Tenaga.
"Pekat juga telah memperoleh kuota CGPP sendiri sebanyak 29.99MWac tahun lepas, dengan loji yang akan dibina di Tronoh, Perak. Prospek penambahan buku pesanan masa depan akan datang dari pekerjaan EPCC yang berkaitan dengan LSS5," ujarnya. - DagangNews.com



