MIDF Research turunkan taraf sektor pengguna kepada ‘neutral’, jangka harga komoditi global tidak menentu dalam tempoh terdekat

Business & Finance
5 Dec 2023 • 10:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIDF Research turunkan taraf sektor pengguna kepada ‘neutral’, jangka harga komoditi global tidak menentu dalam tempoh terdekat

diyana

05/12/2023 - 10:30

KUALA LUMPUR 5 Dis - MIDF Research menurunkan taraf sektor pengguna kepada ‘neutral, daripada ‘positif’ memandangkan ia berhati-hati terhadap ketidaktentuan harga bahan mentah global tertentu yang mungkin berterusan dalam tempoh terdekat.

Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa harga komoditi global tertentu, iaitu gula, kopi dan koko, untuk pengeluar makanan dan minuman (F&B) berkemungkinan berterusan dalam tempoh terdekat.

Ini, katanya, boleh melebihi kejatuhan dalam komoditi utama lain (seperti gandum dan minyak sawit mentah), sekali gus memberikan tekanan inflasi ke atas margin pengeluar F&B dalam tempoh terdekat.

“Selain itu, kami juga menjangkakan permintaan lembap untuk pembelian kehendak pengguna pada 2024, terutamanya disebabkan oleh tekanan inflasi semakin meningkat, kebimbangan terhadap kemelesetan global masa hadapan, kadar faedah berterusan tinggi di Amerika Syarikat (AS) dan kadar dasar semalaman (OPR) yang kembali normal di Malaysia.

“Faktor-faktor ini dijangka menghakis perbelanjaan kehendak isi rumah, membawa kepada perbelanjaan lebih ketat untuk barangan tahan lama,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagaimanapun, MIDF Research optimis mengenai prospek keperluan pengguna pada tahun kewangan 2024 (FY24), disokong oleh sifat defensifnya, di samping tinjauan penggunaan domestik kukuh, disokong oleh pelbagai pemberian tunai dalam Bajet 2024, prospek pasaran pekerjaan yang lebih baik dan jumlah pelancong (riadah dan perniagaan) lebih tinggi.

Di samping itu, firma itu berpendapat bahawa prospek lebih baik sedikit untuk syarikat penternak ayam, didorong oleh jangkaan kos input makanan ayam yang lebih rendah, ditambah dengan persekitaran operasi yang bertambah baik di Malaysia dan Indonesia.

Bagi sektor ini, pilihan utama firma tersebut ialah pengeluar makanan ruji pengguna yang mempamerkan permintaan berdaya tahan, seperti QL Resources (beli, harga sasaran [TP]: RM6.25) dan Fraser & Neave Holdings (beli, TP: RM33.50).

“Kami menyukai QL Resources kerana permintaan berterusan untuk produk marin dan ternakan. Selain itu, kami menggemari langkah strategik syarikat untuk meneroka pasaran baharu dengan menyediakan makanan panas dalam penerbangan kepada MAS Awana.

“Walaupun usaha niaga ini kini dalam fasa perintis, kami optimis dengan keupayaan QL Resources untuk memanfaatkan dapur pusatnya dan berpotensi membawa kepada pengembangan hasil syarikat,” katanya.

Manakala F&N disukai MIDF Research kerana syarikat itu berkemungkinan mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan untuk minuman sedia diminum, didorong oleh peningkatan trafik pelancong.

“Kami juga menghargai inisiatif F&N untuk terus berkembang melalui Sri Nona yang disepadukan baru-baru ini, diikuti oleh Cocoaland dan ladang tenusu bersepadu akan datang yang boleh memastikan pengeluaran tenusu sendiri dan berpotensi mengembangkan asas pendapatan,” tambahnya. - DagangNews.com