MIER tuntut kerajaan kurangkan subsidi RON95, SST disebabkan harga diesel lebih mahal

LocalBusiness & Finance
17 Apr 2026 • 9:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MIER tuntut kerajaan kurangkan subsidi RON95, SST disebabkan harga diesel lebih mahal Image from: MIER tuntut kerajaan kurangkan subsidi RON95, SST disebabkan harga diesel lebih mahal amree17/04/2026 - 09:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 April — Tekanan kos semakin memuncak akibat harga diesel tinggi kini dilihat menjejaskan kelangsungan operasi perniagaan, kata Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER).


Sehubungan situasi berkenaan, badan pemikir tersebut menggesa kerajaan supaya merombak semula struktur subsidi bahan api negara, antaranya mencadangkan subsidi RON95 dikurangkan berperingkat.


Penjimatan tersebut katanya, boleh disalurkan kepada subsidi diesel lebih bersasar bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bergantung kepada logistik serta penggunaan jentera.


“Penyaluran semula subsidi ini boleh mengurangkan tekanan kos operasi dan menyokong usaha kesinambungan perniagaan, terutama dalam kalangan PKS sendiri,” menurut MIER dalam satu kenyataan.


Syor itu hadir ketika komuniti perniagaan berdepan kenaikan kos berterusan susulan harga diesel yang kekal tinggi, selain gangguan rantaian bekalan global dilihat menekan margin keuntungan.


Harga diesel tanpa subsidi sebelum ini dilaporkan pernah mencecah sehingga RM6.72 seliter sebelum susut sedikit kepada sekitar RM5.97 seliter untuk tempoh seminggu yang bermula 16 April 2026.


Bagaimanapun tegas MIER, langkah pengurangan subsidi ke atas petrol RON95 itu perlu dilaksanakan secara bersasar dan bersifat sementara, dengan mengambil kira kekangan ruang fiskal kerajaan.


"Selain itu, kami mencadangkan pengurangan sementara kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kepada 5% selama dua tahun, namun tidak termasuk sektor alkohol, tembakau dan perjudian," katanya.


Langkah berkenaan jelas badan tersebut, dilihat mampu memberi sedikit kelegaan segera kepada sebahagian besar pengguna dan perniagaan yang ketika ini bergelut dengan tekanan kos tinggi.


Pada masa ini tambah MIER, kadar cukai jualan dikenakan kerajaan berada sekitar 5% atau 10%, manakala cukai perkhidmatan pula ki-kira 6% hingga 8% yang bergantung kepada sektor tertentu.


Di samping itu, ia menggesa penyeragaman serta pengurangan duti setem bagi penstrukturan semula perniagaan dan pembayaran balik pinjaman bagi mengurangkan geseran dalam pelarasan korporat.


"Bagi meningkatkan lagi daya saing luaran, kami turut menyarankan sokongan lebih agresif kepada pengeksport, termasuk terus memperkukuhkan peranan oleh Export-Import Bank of Malaysia," katanya.


Bank berkenaan ujar MIER, dilihat berpotensi dalam membantu syarikat tempatan untuk terus berdepan dengan situasi ketidaktentuan perdagangan global yang semakin mencabar. - DagangNews.com

Terkini standard
View Original Article