Migran bayar sehingga RM1,800 seorang guna laluan laut Manjung

19 Aug 2026 • 3:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Migran bayar sehingga RM1,800 seorang guna laluan laut Manjung

PETALING JAYA – Bayaran antara RM800 hingga RM1,800 seorang dipercayai dikenakan terhadap migran warga Indonesia untuk masuk atau keluar negara secara haram melalui pesisir Pantai Manjung, Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, bayaran berkenaan dibuat secara tunai kepada transporter dan ejen sebelum migran terbabit dibawa menggunakan bot jenis ‘pom pom’.

Katanya, kegiatan itu terbongkar menerusi Op Pintas yang dilancarkan Bahagian D3 JSJ Bukit Aman di perairan Manjung, semalam.

“Operasi dijalankan dengan kerjasama Pasukan Polis Marin, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Manjung, Balai Polis Pantai Remis dan Balai Polis Segari.

“Dua serbuan dilakukan masing-masing kira-kira 0.3 batu nautika dari perairan Manjung dan di kawasan Pantai Remis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut M. Kumar, seramai 108 individu ditahan dalam operasi berkenaan termasuk lima lelaki warga Indonesia berusia antara 19 hingga 60 tahun yang dipercayai berperanan sebagai tekong laut, pembantu tekong dan penjaga pantai.

Katanya, turut ditahan 103 migran warga Indonesia terdiri daripada 67 lelaki, 33 wanita, tiga kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan berusia antara lapan bulan hingga 68 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua tangkapan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya.

Dalam operasi sama, polis turut merampas 22 peket plastik mengandungi bahan disyaki syabu seberat kira-kira 5.8 kilogram yang ditemukan pada pakaian dan bagasi seorang suspek.

Kesemua tangkapan dibawa ke IPD Manjung untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“PDRM akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan di perairan negara dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan migran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post Migran bayar sehingga RM1,800 seorang guna laluan laut Manjung appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved