MIKa perkasa pendidikan integriti kanak-kanak

28 Aug 2026 • 9:20 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: MIKa perkasa pendidikan integriti kanak-kanak

PETALING JAYA: Modul Integriti Kanak-kanak (MIKa) disasarkan untuk diperluaskan ke lebih 31,000 Taman Asuh Kanak-Kanak (Taksa), Tadika dan prasekolah di seluruh negara yang melibatkan kira-kira 775,000 kanak-kanak berusia dua hingga enam tahun menjelang 2030.

Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata, pembangunan MIKa yang bermula sejak 2024 telah mendapat sokongan dan kerjasama penuh daripada 35 orang pakar pendidikan awal kanak-kanak bagi menyokong penuh Strategi Pembudayaan Integriti Nasional (NIES).

“MIKa merupakan penjenamaan semula dan penambahbaikan menyeluruh daripada Modul Integriti Prasekolah (MIPS) yang diperkenalkan pada 2016–2017 bagi menerapkan nilai integriti secara sistematik merentas pendidikan awal kanak-kanak melalui pembinaan karakter positif sejak seawal usia.

“MIKa dibangunkan selaras dengan Kurikulum Permata Negara dan Kurikulum Prasekolah 2026,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat menyempurnakan pelancaran MIKa di Tabika Perpaduan Taman Bukit Cheras, Kuala Lumpur.

Menurut IIM, pelancaran MIKa bukan sekadar memperkenalkan modul pendidikan, malah menjadi seruan moral kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama membudayakan integriti agar ia menjadi kebiasaan, pegangan dan amalan bermula dari usia awal kanak-kanak lagi

Katanya, modul itu bertujuan menerapkan nilai integriti secara sistematik dalam pendidikan awal kanak-kanak menerusi pembinaan karakter positif sejak seawal usia kanak-kanak.

“Bagi memastikan keberkesanan penyampaian, MIKa memberi tumpuan kepada pemupukan nilai asas seperti berkata benar, jujur, amanah, bertanggungjawab dan hormat-menghormati.

“Antara bahan yang disediakan ialah Kompilasi Panduan Asas Sesi (KomPAS) sebagai panduan pendidik merangkumi aktiviti bercerita, nyanyian, simulasi dan seni, selain penerbitan kreatif berupa 12 buku cerita, 12 lagu dan video muzik khas,” katanya.

Dalam pada itu, kejayaan pembangunan MIKa turut disokong pelbagai kementerian dan agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Perpaduan Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Kemajuan Masyarakat dan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak.

“Institusi pengajian tinggi seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Selangor (UNISEL) turut terlibat, selain badan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Tadika Malaysia (PTM), Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia (PPBM) dan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM).

“Pendekatan itu mencerminkan hakikat bahawa pembudayaan integriti memerlukan komitmen kolektif pelbagai pihak dan tidak boleh digalas oleh mana-mana institusi secara bersendirian.

“Pelancaran MIKa bukan sekadar memperkenalkan modul pendidikan, malah menjadi seruan moral kepada seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama membudayakan integriti sehingga menjadi kebiasaan, pegangan dan amalan bermula seawal usia kanak-kanak,” katanya. – UTUSAN

The post MIKa perkasa pendidikan integriti kanak-kanak appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved