Mila Jirin kembali ke persada muzik dengan 'Tersimpan Dalam Hati'

EntertainmentMusic
25 Jul 2026 • 10:47 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mila Jirin kembali ke persada muzik dengan 'Tersimpan Dalam Hati'
Mila Jirin. Foto Bernama
Image from: Mila Jirin kembali ke persada muzik dengan 'Tersimpan Dalam Hati'
Mila (kanan) bersama Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim pada pelancaran single terbaharunya Tersimpan Dalam Hati di Bizmilla Wedding Centre, Subang Jaya pada Jumaat. Foto Bernama

SELEPAS lebih sedekad menyepi bagi memberi tumpuan kepada perniagaannya, juara Akademi Fantasia Musim kelima (AF5), Mila Jirin kini kembali merancakkan industri muzik tanah air menerusi pelancaran single baharu berjudul 'Tersimpan Dalam Hati'.

Mila, atau nama sebenarnya Norsyarmilla Jirin, 39, berkata, kemunculan semulanya itu bukan sekadar gimik sementara, sebaliknya simbol kebangkitan cita-cita seni yang pernah ditangguhkan akibat kesibukan menguruskan perniagaan dan keluarga.

Bagi memastikan kualiti terbaik, pengasas Bizmilla itu memilih untuk menjalani keseluruhan proses rakaman single berkenaan di Jakarta, Indonesia bersama-sama dengan komposer prolifik, Ilham Baso.

"Ada ketika saya sendiri tertanya-tanya sama ada impian (saya) untuk kembali menyanyi ini, masih ada ruang (dalam industri) atau tidak. Namun, saya percaya jika sesuatu impian itu ikhlas, Allah akan membuka jalannya pada waktu yang paling tepat.

"Oleh itu, karya berentak balada moden ini menjadi titik permulaan baharu untuk saya kembali bertapak sebagai penyanyi," katanya kepada pemberita selepas pelancaran single berkenaan di Bizmilla Wedding Centre, Subang Jaya dekat sini semalam.

**media[3594351]**

Mila berkata, Tersimpan Dalam Hati merupakan karya pertama daripada siri projek kemunculan semulanya yang bakal dimuatkan dalam sebuah album penuh.

"Setakat ini, saya telah merakamkan lima lagu di Indonesia dan akan keluar secara berperingkat. Bagaimanapun, saya juga mahukan karya komposer tempatan untuk dimuatkan dalam album yang dijangka dilancarkan pada hujung tahun ini," katanya yang turut bercadang menganjurkan showcase pada masa sesuai.

Berkongsi mesej di sebalik lagu tersebut, beliau menjelaskan naskhah berkenaan mengangkat tema cinta, kerinduan, harapan dan impian yang terpendam, selain menterjemahkan kembara hidupnya sepanjang lebih sedekad bergelar usahawan, isteri, ibu serta anak seni.

Mengimbas kembali keputusan memperlahankan kerjaya seni suatu ketika dahulu, Mila berkongsi segalanya bermula sekitar 2010 apabila pendapatan nyanyiannya terjejas teruk.

"Saya memasak sendiri di dapur demi mencari rezeki kerana perlu menyara keluarga termasuk persekolahan adik-adik. Saya juga yang meminta ibu bapa berhenti kerja, jadi saya perlu bangkit dan melakukan apa sahaja ketika itu," katanya.

Beliau bersyukur perniagaan yang dibina kini kian stabil dan sepanjang membangunkan jenama Bizmilla, syarikatnya berjaya mengendalikan lebih 10,000 majlis dan meraikan lebih 10 juta tetamu. - Bernama

 

 

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved