
KUALA LUMPUR: Seorang pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini dijatuhi hukuman penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dadah, September lepas.
Majistret S. Mageswary menjatuhkan hukuman itu terhadap Lee Beng Song, 67, dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 5 Sept lepas.
Lee dijatuhi hukuman penjara lima bulan kerana memiliki dadah jenis heroin dan monoacetylmorphine seberat 1.7 gram di Jalan Mahkota, Cheras di sini jam 11 pagi 5 Sept lepas, mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Lelaki itu juga dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan pengawasan polis dari Agensi Antidadah Kebangsaan selama dua tahun kerana memberikan dadah jenis morphine kepada dirinya sendiri di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di Cheras, di sini pada jam 1.20 tengah hari, tarikh sama, mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Bagaimanapun, tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara lima bulan selepas mahkamah memerintahkan hukuman itu berjalan secara serentak.
Timbalan Pendakwa Raya, Sareeka Balakrishnan memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh.
Peguam Edwin Tomas dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), yang mewakili tertuduhm merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya tidak mempunyai ahli keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi kronik. -Bernama
