PASIR MAS - Seramai lapan individu yang terdiri daripada empat pemilik bot dan empat tekong berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan memiliki diesel tanpa lesen sah.
Bagaimanapun kesemua Orang kena saman (OKS) terbabit mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki 19,836.768 liter minyak diesel subsidi tanpa lesen sah pada 12 April lalu.
OKS, Mohd Raffi Ramli, 47; Haziq Haiqal Bahrom, 24; Zawawi Zakaria, 48; Mohd Shahrul Azan Ismail, 39; Mohd Zurin Yahya, 51; Muhammad Nor Haffizi Azhar, 24; Muhamad Haika Dalwis, 22; dan Ahmad Fahami Sukrie Mohamad, 33 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah.
**media[3540175]**
Mengikut pertuduhan, empat pemilik bot, Mohd Raffi, Mohd Zurin, Zawawi dan Ahmad Fahami menimbulkan syak yang munasabah memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel berjumlah antara 2203.29 hingga 4990.094 liter yang disimpan di dalam tangki bot dan tangki simpanan.
Mereka memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel di dalam bot di pangkalan Nazori, Kampung Geting, Tumpat pada jam 4.53 petang.
Empat lagi tertuduh,Haziq Haiqal ,Muhammad Nor Haffizi, Muhamad Haika dan Mohd Shahrul Azan menimbulkan syak yang munasabah memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel berjumlah antara 2203.29 liter hingga 4990.094 liter hingga 4990.094 yang disimpan di dalam tangki bot.
Mereka memiliki barang kawalan berjadual minyak diesel di dalam bot di pangkalan Nazori Kampung Geting, Tumpat pada jam 4.53 petang.
Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 itu boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta sama.
Bagi kesalahan itu, mereka bakal berdepan hukuman denda tidak lebih RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan seorang penjamin antara RM4,000 hingga RM10,000 membabitkan keseluruhan jaminan berjumlah RM68,000.
Mahkamah juga menetapkan 2 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Siti Edabayu Subhan bersama Pegawai Pendakwa, Muhammadi Iman Masjuri, manakala kesemua OKS diwakili peguam, Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.
Kesemua OKS membayar wang jaminan tersebut.



