Miliki ganja 2.5kg, warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun, 12 sebatan

29 Sep 2026 • 4:39 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Miliki ganja 2.5kg, warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun, 12 sebatan

KUALA LUMPUR – Seorang pendandan rambut warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas kesalahan memiliki ganja seberat 2.57 kilogram (kg), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas tertuduh, Dasham Novada Wickramathunga, 33, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Sri Lanka.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 6 April 2024.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis (ganja) seberat 2.57 kg di sebuah unit kondominium di Jalan Ipoh, di sini, pada pukul 11.30 malam, 6 April 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara minimum lima tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Fadhly Mohd Zamry mencadangkan hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh mengambil kira faktor kepentingan awam serta trend peningkatan kes dadah yang semakin membimbangkan.

“Berkenaan dengan kekerapan kesalahan yang melibatkan gejala dadah di Malaysia pada ketika ini, saya percaya pihak mahkamah sedia maklum terdapat peningkatan yang serius.

“Faktor tersebut perlu dipertimbangkan dalam menjatuhkan hukuman bagi memastikan perkara ini dijadikan teladan bukan sahaja terhadap tertuduh, malah terhadap masyarakat secara menyeluruh,” katanya.

Peguam, Zulkifli Awang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan atas alasan anak guamnya yang telah hilang punca pendapatan, mempunyai tanggungan ibu bapa yang sudah tua di negara asal selain merupakan pesalah kali pertama.

“Tempoh berada di dalam tahanan sejak ditangkap pada tahun 2024 sehingga ke hari ini telah memberi satu iktibar kepada tertuduh. Dia juga telah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perkara ini lagi.

“Saya mohon belas kasihan mahkamah untuk melihat tertuduh bukan sahaja dari segi mata kehakiman, tapi melihat juga beliau sebagai seorang insan yang bersedia mengaku salah,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, satu serbuan di lokasi sama telah dibuat oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul berhubung siasatan kes kecurian bungkusan (parcel).

Pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan pelbagai paket disyaki ganja dan methamphetamine serta 6 keping kerajang aluminium mengandungi pil Erimin-5. – KOSMO! ONLINE

The post Miliki ganja 2.5kg, warga Sri Lanka dipenjara 10 tahun, 12 sebatan appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved