Miliki MyKad orang lain, dua lelaki didenda hingga RM6,000

8 Jul 2026 • 3:08 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Miliki MyKad orang lain, dua lelaki didenda hingga RM6,000

KUANTAN, 8 JULAI: Dua lelaki masing-masing didenda RM5,000 dan RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki kad pengenalan atau MyKad milik individu lain.

Majistret Tengku Aliana Tuan Kamaruzaman turut memerintahkan Muhammad Al-Mujib Arman, 23, dan Shaleh Sintam, 45, masing-masing dipenjara tujuh bulan dan lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, Muhammad Al-Mujib dan Shaleh didakwa memiliki kad pengenalan milik individu lain sebagai dokumen pengenalan diri ketika operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kampung Pantai Balok di sini, antara 12.30 tengah malam hingga 3.30 pagi, 3 Julai lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa JPN Fakrol Anuar Sani, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pada prosiding itu, Fakrol Anuar memohon mahkamah mengenakan hukuman yang berat dan setimpal sebagai pengajaran agar orang ramai tidak sewenang-wenangnya memiliki kad pengenalan milik individu lain.

Bagaimanapun, peguam kedua-dua tertuduh memohon hukuman denda diringankan kerana Muhammad Al-Mujib tidak bekerja dan ditanggung oleh ibunya yang bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan kira-kira RM1,000 sebulan, manakala Shaleh seorang bapa tunggal yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM1,500 sebulan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved