Miliki SOP pengurusan terbaik, KPM nafi kertas peperiksaan SPM bocor

13 Jan 2025 • 4:12 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

JOHOR BAHRU, 13 JAN: Kementerian Pendidikan (KPM) memiliki tatacara operasi piawai (SOP) pengurusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik sekali gus menafikan dakwaan kebocoran kertas peperiksaan subjek Sejarah, baru-baru ini.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata pihaknya komited memastikan SOP berkenaan dipatuhi semua pihak terlibat sepanjang peperiksaan berlangsung.

“Daripada siasatan yang dilakukan KPM, tidak berlaku kebocoran bagi kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah. Bila disebut kebocoran, maksudnya ialah keseluruhan naskhah peperiksaan itu bocor.

“SOP sedia ada yang dikuatkuasakan ketika ini berada pada tahap terbaik dan kita akan pastikan ia terus dipatuhi,” katanya pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 Peringkat Johor di Dewan Seminar Jabatan Pendidikan Negeri Johor di sini hari ini.

Pada Khamis lepas, KPM menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan berlaku kebocoran kertas peperiksaan SPM 2024 bagi subjek Sejarah susulan tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk ramalan dalam buku teks subjek berkenaan.

Berhubung banjir di Johor, Azman berkata seramai tujuh mangsa banjir dalam kalangan calon SPM menduduki peperiksaan subjek Matematik Tambahan hari ini.

“Pejabat Pendidikan Daerah telah melaksanakan program intervensi bagi memastikan kesemua calon dapat hadir ke sekolah,” katanya sambil menambah setakat ini tiada Pusat Peperiksaan Alternatif (PPA) diaktifkan.

Setakat 11 pagi ini, Johor merekodkan seramai 3,776 mangsa banjir yang ditempatkan di 37 PPS yang dibuka di sekitar Kota Tinggi, Johor Bahru, Kulai, Pontian dan Kluang.

– BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved