
PETALING JAYA – Syarikat mainan rekaan tempatan, Milolo Berhad (Milolo) telah membuka kedai konsep premium utamanya di pusat beli-belah utama, Ombak KLCC di Presint KLCC hasil kerjasamanya dengan selebriti, Bella Astilah.
Outlet yang dikenali sebagai Bella’s Blind Box iaitu antara salah satu koleksi blind box selebriti yang pertama di Malaysia.
Pengarah Urusan dan Pengasas Milolo, Datuk Millan Lee berkata, dengan pembukaan outlet terbaharu ini, syarikat akan dapat meluaskan kehadiran dalam pasaran peruncitan di pusat beli-belah utama dan lokasi bertrafik tinggi di seluruh negara.
“Kami memilih lokasi ini kerana kedudukannya yang strategik dengan keterlihatan bangunan yang tinggi, tepat di tengah-tengah pusat perniagaan di Kuala Lumpur.
“Ombak KLCC, dan secara amnya Presint KLCC, mempunyai profil pelanggan yang pelbagai, termasuklah pengguna tempatan, pengumpul mainan seni, keluarga dan pelawat antarabangsa.
“Ini memberikan peluang kepada kami untuk mempamerkan Milolo di tahap yang lebih tinggi dan memperkenalkan IP Malaysia kami kepada khalayak yang lebih luas,” katanya dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran outlet tersebut baru-baru ini.
Lee menjelaskan, walaupun cawangan biasanya lebih tertumpu kepada kebolehcapaian dan kemudahan, Ombak KLCC direka khas untuk menjadi sebuah destinasi yang mana pelanggan boleh meneroka dan merasai pengalaman Milolo, berinteraksi dengan watak dan menyertai pelbagai aktiviti iaitu lebih daripada sekadar membeli blind box.
“Pelancaran Bella’s Blind Box menandakan satu langkah besar menuju masa hadapan kami sebagai sebuah jenama yang mana kami sedang meneruskan transformasi daripada peruncit mainan koleksi jenama pihak ketiga kepada sebuah syarikat hiburan runcit Kreatif (creative retailtainment), lengkap dengan portfolio IP dan platform pengkomersialan kami sendiri,” terang beliau lagi. -KOSMO! ONLINE
The post Milolo buka outlet premium di Ombak KLCC appeared first on Kosmo Online.
