MINI JCW E dan JCW Aceman E Diperlihatkan – Harga Bermula RM218,888

TechnologyDigitalCars
9 May 2025 • 11:46 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

MINI John Cooper Works menggunakan acara Malaysia Autoshow 2025 (MAS) untuk memperlihatkan MINI JCW E dan MINI JCW Aceman E yang merupakan dua model pertama JCW yang berkuasa elektrik sepenuhnya. Ini pasti akan memberikan keterujaan kepada lebih ramai peminat JCW yang selama ini menantikan versi elektrik sepenuhnya kenderaan Mini mereka yang cuku ikonik.

image is not available
MINI JCW E

image is not available
MINI JCW Aceman E

MINI JCW E dan MINI JCW Aceman E hadir dengan motor berkuasa 190 kW (258 hp) dan tork 350 Nm dipadankan dengan konfigurasi panduan roda hadapan yang membolehkan ia memecut ke kelajuan maksimum 200 km/j. Walaupun kedua-dua model berkongsi motor elektrik yang sama, prestasinya sedikit berbeza.

image is not available

MINI JCW E memecut daripada 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat, menjadikannya model EV MINI paling pantas buat masa ini. Sementara itu, MINI JCW Aceman E pula memerlukan 6.4 saat untuk melakukan pecutan yang sama.

MINI JCW E yang pertama hanya dilengkapi dengan rim JCW Lap Spoke 18″ manakala MINI JCW Aceman E didatangkan dengan rim JCW Lap Spoke dwi-tona 19″. Bagi anda yang mempunyai gaya hidup aktif atau sering membawa barang bersaiz besar, model ini juga hadir dengan rel bumbung, menjadikannya satu-satunya dalam siri JCW elektrik setakat ini yang memiliki ciri tersebut.

image is not available

image is not available

Dari segi kecekapan, MINI JCW E mencatatkan penggunaan tenaga antara 15.3- 15.6 kWh untuk setiap 100 km, membolehkannya bergerak sejauh hingga 371 km WLTP dengan satu cas penuh. Sementara itu, MINI JCW Aceman All-Electric pula menggunakan tenaga antara 16.0 – 16.04kWh setiap 100 km dengan jarak perjalanan maksimum sekitar 355 km WLTP.

Kedua-dua model dilengkapi bateri berkapasiti kasar 54.2 kWh, dan menyokong pengecasan pantas DC sehingga 95 kW, membolehkan cas dari 10% ke 80% dalam masa hanya 30 minit. Manakala untuk pengecasan AC sehingga 11 kW mengambil masa sekitar 5 jam 15 minit dari 0% hingga 100%.

image is not available

Untuk peminat MINI yang sudah mula berkira-kira, berikut adalah harga rasmi bagi dua model serba elektrik ini. MINI JCW E ditawarkan pada harga RM218,888, manakala versi lebih besar dan versatil, MINI JCW Aceman E, dijual pada RM233,888, kedua-duanya termasuk SST, atas jalan, tanpa insurans.

Bagi yang mahukan ketenangan fikiran jangka panjang, anda juga boleh memilih untuk menambah Pakej Waranti dan Servis Lanjutan, masing-masing berharga RM6,300 untuk JCW E dan RM7,300 untuk JCW Aceman E.