
PETALING JAYA: MINI Malaysia melancarkan Countryman S ALL4 Desert Night Edition dalam edisi terhad sebanyak 48 unit sahaja bagi pasaran tempatan pada harga bermula RM267,333 tanpa insurans.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Benjamin Nagel berkata, Desert Night Edition mencerminkan semangat pengembaraan yang menjadi identiti jenama MINI, selain memenuhi keperluan pelanggan yang menghargai reka bentuk unik serta teknologi moden.
“Dengan reka bentuk eksklusif, teknologi yang dipertingkatkan serta sistem pacuan semua roda ALL4, kami mahu menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih yakin dan menyeronokkan kepada pelanggan di Malaysia.
“Pelancaran model ini turut mengambil inspirasi daripada kemeriahan perlumbaan antarabangsa yang bakal berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang, sekali gus menampilkan karakter lasak dan dinamik yang sesuai dengan keadaan jalan raya tempatan,” katanya.
MINI Countryman S ALL4 Desert Night Edition tampil dengan pelbagai sentuhan eksklusif termasuk kemasan khas pada tiang C dan D, bampar hadapan, penutup hab roda serta penutup injap tayar yang menonjolkan identiti Desert Night.
Di bahagian dalaman, model itu dilengkapi lambang khas Desert Night pada stereng, sulaman eksklusif pada alas lantai serta motif khas pada penutup kunci yang menyerlahkan identiti edisi terhad berkenaan.
Dari aspek teknologi, buat pertama kalinya MINI Countryman ditawarkan dengan ciri Kawalan Pemanduan Aktifsebagai kelengkapan standard menerusi sistem Bantuan Pemanduan Plus MINI.
Teknologi itu membolehkan kenderaan melaraskan kelajuan secara automatik mengikut aliran trafik serta mengekalkan jarak selamat dengan kenderaan di hadapan, sekali gus meningkatkan keselesaan terutama ketika pemanduan jarak jauh.
Model berkenaan turut mengekalkan sistem pacuan semua roda pintar ALL4 yang memberikan tahap kestabilan dan keyakinan lebih tinggi dalam pelbagai keadaan permukaan jalan termasuk ketika cuaca hujan.
Sebanyak 48 unit sahaja ditawarkan di Malaysia dengan 30 unit didatangkan dalam warna Smokey Green manakala baki 18 unit dalam warna Slate Blue.
Bagi merancakkan jualan, MINI Malaysia menawarkan rebat tunai sebanyak RM12,000 kepada pelanggan yang membuat tempahan sebelum 4 Oktober 2026.
Pelanggan yang memilih Pelan Pembiayaan MINI Easy Drive menerusi BMW Group Financial Services Malaysia turut layak menerima sokongan pembiayaan tambahan RM10,000, menjadikan jumlah manfaat keseluruhan mencecah RM22,000. – UTUSAN
The post MINI pertaruh Countryman Desert Night Edition di Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.
