
KUALA LUMPUR - Nampaknya rangkaian kafe tempatan, ZUS Coffee bakal memasuki senarai boikot terkini rakyat Malaysia.
Walaupun sudah memohon maaf selepas terbabit dalam aktiviti bersama jenama yang menyokong rejim Zionis, ia gagal nengubah keadaan.
Semua ini gara-gara pendirian neutral yang diketengahkan melalui satu kenyataan, semalam.
Menjengah ke X, majoriti netizen membidas permohonan maaf tersebut, yang disifatkan terlalu ‘penakut’.
Lebih keras, mereka menganggap ZUS cuba menjaga nama baik pihak tertentu apabila sama sekali tidak menyebut perkataan ‘Palestin’, ‘genosid’ atau ‘Israel’ dalam permohonan maaf berkenaan.
“Its not a war, its a genocide. And we dont just condemn ‘any act of violence’, we condemn Israel. Just say it. You are in malaysia what are you being neutral for???” ciap seorang netizen yang menggunakan akaun @arxxxxmand.
Ciapannya menerima persetujuan @fuzhayl yang berkata, tidak ada peperangan di Gaza, melainkan pembunuhan besar-besaran atau genosid.
“Exactly, cuz I thought they were talking bout the Ukraine and Russia war. There’s no war in Gaza, just mass killings or better word for it, genocide,” ciapnya.
Amylia Alias di akaun @amylia_ali pula tampil dengan balasan lebih ‘berani’ apabila mendakwa syarikat terbabit dipelopori penyokong pro Zionis.
“CEO company bukan Muslim pun. Peduli apa dia nak letak Palestine. Entah-entah investors company Zus ni ramai pro Israel. Kita semua diperbodohkan gitu je,” katanya.
Pendapat senada disuarakan Officer of The Kot di akaun @LilyZali.
“Isu Palestine ni bukan isu muslim or non,isu kemanusiaan sejagat. No excuse to be that ignorant depa ni,” katanya, kesal.
Kecaman terhadap ZUS bermula semalam apabila syarikat itu dilihat menyertai sebuah aktiviti bersama sebuah jenama pakaian sukan yang sedia dimaklumi pro Israel.
Bye bye Zus Coffee pic.twitter.com/Gs7IFpuYd4
— (@luqmanhkm_14) May 15, 2024
Susulan kecaman, kafe kopi tempatan itu yang meraih momentum gara-gara boikot ke atas Starbucks tampil membuat permohonan maaf.
Menerusi kenyataan tersebut jurucakap syarikat berkata, ZUS Coffee sebagai jenama tempatan berpegang teguh kepada integriti.
“ZUS Coffee tidak akan dengan sengaja mengaitkan diri kami dengan peperangan dan secara tegas menolak sebarang tindakan kekerasan terhadap kemanusiaan,” katanya.
Bagaimanapun, mereka ‘tersilap langkah’ apabila gagal menyatakan dengan jelas pendirian mereka untuk membantah genosid dilakukan Israel.

Memilih untuk berselindung di sebalik perkataan ‘peperangan’, tindakan syarikat itu disamakan dengan sebuah jenama kopi antarabangsa sebelum ini, Starbucks Malaysia yang sehingga kini masih gagal membantah terang-terangan kekejaman Zionis. - Getaran, 17 Mei 2024
