Minyak: Apa akan jadi selepas Mei ini?

LocalBusiness & Finance
23 Mar 2026 • 8:20 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Kerajaan mempertahankan harga RON95 di RM1.99 seliter sebagai langkah melindungi rakyat. Gambar hiasan

SYAWAL sudah memasuki hari ketiganya hari ini dan Mac sudah hampir ke penghujungnya.

Persoalan besar mula berlegar dalam fikiran rakyat Malaysia apa akan berlaku selepas Mei 2026 apabila bekalan minyak mentah negara yang dijamin oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka mencapai hadnya?

Buat masa ini, kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mampu mengekalkan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter, satu keputusan yang jelas bersifat melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup global.

Namun, persoalan sebenar bukan pada hari ini, tetapi apa yang menanti selepas tempoh jaminan itu berakhir.

Realitinya, Malaysia tidak terkecuali daripada tempias konflik antarabangsa, khususnya ketegangan di Selat Hormuz yang menjadi laluan utama minyak dunia.

Jika gangguan berterusan, rantaian bekalan global akan terus terjejas dan harga minyak mentah dijangka kekal tinggi atau meningkat dalam tempoh lebih panjang.

Selepas Mei, kerajaan berdepan pilihan sukar. Sama ada meneruskan subsidi dengan kos fiskal yang semakin membebankan atau melakukan rasionalisasi harga yang pasti memberi kesan langsung kepada rakyat.

Dalam keadaan ekonomi global tidak menentu, ruang fiskal negara juga bukan tanpa batas dan memerlukan pertimbangan teliti serta langkah berani.

Lebih membimbangkan, kenaikan harga bahan api akan memberi kesan berantai kepada harga barang keperluan lain termasuk makanan dan logistik.

Ini berpotensi mencetuskan tekanan inflasi yang lebih ketara jika tidak ditangani dengan strategi menyeluruh serta kawalan pasaran yang berkesan dan konsisten.

Justeru, peringatan kerajaan agar rakyat berbelanja secara berhemah bukan sekadar retorik, tetapi satu realiti yang perlu dihadapi bersama.

Selain itu, usaha memperkukuh sumber tenaga alternatif dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil perlu dipercepatkan. Pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan strategik negara.

Selepas Mei 2026, Malaysia mungkin memasuki fasa baharu yang lebih mencabar, tetapi menuntut kebijaksanaan semua pihak untuk mengharunginya.

Apa pun, kerajaan digesa supaya tidak mengumumkan keputusan last minute supaya rakyat lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan.