
KERAJAAN Negeri melalui Kumpulan Sawit Kinabalu melancarkan minyak masak keluaran Sabah, Sayang, satu inisiatif untuk menjadikan komoditi itu lebih mudah didapatkan dan mampu dimiliki oleh rakyat.
“Kerajaan sentiasa peka terhadap keperluan rakyat memandangkan kekurangan bekalan minyak masak dan harga yang tinggi sejak akhir-akhir ini,” kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor, yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, pada majlis pelancaran produk itu di Anjung Selera di Likas, Kota Kinabalu, pada 27 Okt.
Beliau berkata ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu dan selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk membantu rakyat mendapatkan minyak masak mampu milik.
Minyak masak Sayang dikeluarkan oleh anak syarikat Sawit Kinabalu, Kunak Edible Oil Sdn Bhd (KEOSB).
Terdapat dalam botol 1kg, 2kg dan 5kg, minyak masak berkualiti tinggi itu lebih murah berbanding jenama minyak masak tanpa subsidi lain di pasaran. Harga minyak masak tanpa subsidi (2kg) ialah RM13.20 manakala RM31 untuk botol 5kg.
Harga minyak masak bersubsidi adalah standard iaitu RM2.50 sekilogram, katanya.
Hajiji berkata kapasiti pengeluaran bulanan Sawit Kinabalu ialah 150 tan untuk minyak masak bersubsidi dan 100 tan untuk minyak masak tanpa subsidi.
“Saya harap ini dapat menghapuskan isu kekurangan minyak masak di pasaran,” katanya sambil menambah, minyak itu akan disediakan di seluruh Sabah.
Memenuhi keperluan rakyat di Sabah adalah keutamaan ketika ini, katanya ketika ditanya sama ada produk ini juga bertujuan untuk eksport.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie berkata KEOSB akan bekerjasama dengan syarikat tempatan seperti Pasaraya Sthamin dan beberapa ejen pemasaran lain untuk dilantik bagi memasarkan minyak masak itu.
Sawit Kinabalu menerusi sebuah lagi anak syarikat, Kunak Refinery Sdn Bhd juga akan membekalkan minyak masak bersubsidi (peket 1kg) kepada rakyat di negeri ini.
Terdahulu, Ketua Menteri mengadakan tinjauan mesra secara mengejut untuk beramah mesra dan mengagihkan minyak masak Sayang kepada penjaja makanan yang beroperasi di Anjung Selera.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu Datuk Rubin Balang, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Safar Untong, Pengurus Besar Sedcovest Holdings Amir Karim, Pengarah Urusan Sthamin Busthamin Haji Paita dan ahli-ahli lembaga pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

