Minyak sawit M’sia tembusi pasaran baharu: Menteri

14 Sep 2022 • 3:17 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

PETALING JAYA: Minyak sawit Malaysia telah dapat menembusi pasaran global baharu dan ini membuktikan komoditi utama negara mendapat pengiktirafan dan penerimaan antarabangsa yang lebih tinggi, seiring dengan matlamat kempen “Gerakan Global untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit”, kata Datuk Zuraida Kamaruddin.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata sekurang-kurangnya tiga buah negara yang sebelum ini tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia - Estonia, Republik Czech dan Hungary - telah mula membeli sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Sejak Januari hingga Julai tahun ini, Estonia telah mengimport 2,501 tan minyak sawit Malaysia bernilai RM20.22 juta, Republik Czech bernilai 95 tan bernilai RM0.88 juta, dan Hungary bernilai 853 tan bernilai RM6.73 juta.

“Walaupun jumlah dan nilai import minyak sawit Malaysia dari negara-negara ini tidak setinggi seperti di India dan Turkiye, ia masih merupakan perkembangan yang menggalakkan kerana ia merupakan pasaran baru,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Zuraida, kementerian sedar pasaran baharu ini wujud sebahagiannya disebabkan oleh konflik yang berlaku di Ukraine, yang mengakibatkan gangguan kepada bekalan minyak bunga matahari dan minyak rapeseed.

“Bagaimanapun, saya percaya ini adalah permulaan yang baik dan minyak sawit Malaysia akan terus mendapat permintaan walaupun setelah konflik ini tamat.

“KPPK juga pada masa sama telah menetapkan sasaran untuk mengeksport minyak sawit Malaysia ke lebih banyak negara bukan tradisional khususnya di Kesatuan Eropah (EU) serta akan berusaha mengembangkan pasaran dalam kalangan negara-negara pengimport.

“Ini akan dilakukan melalui:

i. Memperkukuh pasaran eksport utama sedia ada, khususnya di India, China, Pakistan dan EU, serta mempromosikan produk minyak sawit secara lebih agresif untuk menembusi pasaran baharu seperti di Afrika dan rantau

Asia Tengah;

ii. Meningkatkan aktiviti Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dalam pengeluaran produk baharu serta menambah nilai produk komoditi dalam industri hiliran dan;

iii. Meningkatkan akses kepada pasaran yang lebih luas melalui perundingan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala serta perundingan serantau atau pelbagai hala,” tambah beliau.