MIPP harap RESET perkukuh sokongan kepada PN

LocalPolitics
12 Jun 2026 • 5:29 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MIPP harap RESET perkukuh sokongan kepada PN
Ucapan Presiden MIPP ini dikongsi di laman Facebook RESET Malaysia pada Jumaat.

SHAH ALAM - Malaysian Indian People Party (MIPP) berharap pemimpin, ahli dan penyokong RESET terus berdiri teguh di belakang perjuangan serta aspirasi Perikatan Nasional (PN) dalam usaha membina gelombang sokongan yang lebih kukuh merentasi semua kaum.

Presidennya, S.P. Punithan berkata, semua pihak perlu bersatu di bawah satu visi bersama dan melangkah ke hadapan dengan penuh keyakinan ke arah Putrajaya demi masa depan negara yang lebih baik.

Beliau berkata demikian dalam ucapan khas sempena Konvensyen RESET pertama yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin bakal berlangsung pada Sabtu di Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, konvensyen berkenaan menjadi platform penting untuk perbincangan secara konstruktif mengenai pembaharuan negara, tadbir urus, daya tahan ekonomi serta hala tuju masa depan Malaysia.

“Bagi pihak Malaysian Indian People Party, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan ucapan selamat maju jaya atas kejayaan penganjuran konvensyen sulung ini.

“Semoga Konvensyen RESET menjadi pencetus idea baharu, memperkukuh perpaduan rakyat Malaysia dan menyumbang secara bermakna ke arah pembinaan sebuah negara yang lebih kukuh, makmur dan inklusif,” katanya lagi dalam ucapan itu pada Jumaat.

Punithan turut menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Hamzah atas penganjuran Konvensyen RESET yang julung kali diadakan.

Beliau berkata, kejayaan konvensyen itu diharapkan dapat memberi manfaat kepada usaha memperkukuh perpaduan rakyat serta memperkasa agenda pembangunan negara pada masa hadapan.

 

 

View Original Article