hamden28/08/2026 - 18:29 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 28 Ogos - MISC Bhd mengesahkan sedang mengadakan perbincangan awal dan penerokaan dengan Yinson Legacy Sdn Bhd (YLSB), syarikat gabungan YLSB serta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berhubung potensi cadangan untuk menswastakan Yinson Holdings Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MISC berkata cadangan itu, jika direalisasikan, akan dilaksanakan menerusi skim pengaturan di bawah Seksyen 366 Akta Syarikat 2016.
Cadangan berkenaan dijangka melibatkan pengambilalihan semua saham biasa Yinson yang masih belum dimiliki YLSB dan pihak tertentu yang bertindak secara bersama dengannya, manakala KWSP akan mengekalkan pegangan saham efektif sedia ada dalam Yinson.
Sementara rundingan masih berjalan, harga tawaran indikatif RM2.35 sesaham sedang dipertimbangkan berdasarkan keadaan semasa sekiranya cadangan tersebut direalisasikan.
Bagaimanapun, MISC berkata harga tawaran akhir masih boleh berubah dan tertakluk kepada, antara lain, hasil proses usaha wajar serta daya maju komersial cadangan tersebut.
“Perbincangan antara pihak-pihak masih berlangsung dan penilaian lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Cadangan skim berkenaan juga masih tertakluk kepada penilaian dan rundingan antara pihak terlibat, pemeteraian perjanjian muktamad, penentuan harga tawaran akhir serta kelulusan dan syarat lain yang diperlukan.
ARTIKEL BERKAITAN: Keluarga Lim, KWSP dan MISC intai pengambilalihan Yinson pada nilai sekitar RM6.86 bilion - Bloomberg
MISC menegaskan bahawa tiada jaminan perbincangan berkenaan akan membawa kepada pelaksanaan cadangan tersebut.
MISC turut menjelaskan pengumuman berkenaan tidak membentuk hasrat muktamad untuk menswastakan Yinson dan tiada kepastian bahawa sebarang tawaran atau transaksi akhirnya akan dibuat.
Sehubungan itu, pemegang saham dan pelabur dinasihatkan supaya berhati-hati ketika berurusan dalam sekuriti MISC dan Yinson.
MISC akan membuat pengumuman sewajarnya mengenai sebarang perkembangan material berkaitan cadangan tersebut selaras dengan undang-undang dan peraturan yang terpakai. - DagangNews.com



