‘Misi GSF 2.0 antara lain bantah undang-undang zalim’ – ZRA

WorldPolitics
12 Apr 2026 • 5:32 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

image is not available

Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang kini dalam pelayaran menuju ke Gaza bukan sahaja bertujuan memecahkan kepungan wilayah itu, malah turut membawa agenda lebih luas termasuk memperjuangkan nasib ribuan tahanan.

Aktivis Malaysia yang menyertai misi berkenaan, Zainal Rashid Ahmad berkata, pelayaran tersebut merupakan sebahagian daripada usaha antarabangsa bagi menentang undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen Israel pada 30 Mac 2026.

Menurut beliau, undang-undang berkenaan dijangka dikuatkuasakan dalam tempoh 90 hari, iaitu bermula 1 Julai 2026, dan didakwa boleh membawa kepada hukuman berat termasuk hukuman mati terhadap lebih 10,000 tahanan atas tuduhan sebagai pengganas.

“Ini bukan sekadar misi memecahkan kepungan ke atas Gaza, tetapi juga untuk memastikan dunia memberi perhatian terhadap undang-undang yang tidak adil ini serta berusaha menghapuskannya,” katanya.

Baca juga:

Tambah beliau, usaha tersebut turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa apabila lebih 300 ahli Parlimen Eropah dijangka berkumpul di Brussels pada 22 April 2026 bagi membincangkan isu kepungan dan membantah pelaksanaan undang-undang berkenaan.

Marwan Barghouti

Dalam pada itu, Marwan Barghouti menjadi antara individu utama yang dikaitkan dalam misi tersebut. Barghouti dilahirkan pada tahun 1959, ditahan pada 2001 dan dipenjarakan tanpa perbicaraan yang dianggap adil.

Beliau kini menjalani hukuman penjara seumur hidup sebanyak lima kali, bersamaan 110 tahun, selain tambahan 40 tahun lagi atas tuduhan membunuh.

Menurut Zainal Rashid, Barghouti dilihat sebagai simbol perjuangan rakyat Palestin dan usaha memperjuangkan nasibnya bersama ribuan tahanan lain menjadi antara fokus utama misi GSF 2.0.

“Misi ini bukan sahaja untuk Gaza, tetapi juga membawa mesej keadilan, termasuk membela lebih 10,000 tahanan yang didakwa ditahan di bawah undang-undang yang tidak adil,” katanya.

The post ‘Misi GSF 2.0 antara lain bantah undang-undang zalim’ – ZRA appeared first on The Reporter.