Misi hapus badi 12 tahun

LocalFootball
14 Aug 2026 • 8:20 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Misi hapus badi 12 tahun

SELAMA 12 tahun pasukan Harimau Malaya ‘menderita’ jadi mangsa ejekan Vietnam selepas gagal menewaskan seteru tradisi Asia Tenggara itu setelah kali terakhir menang pada 2014.

Walaupun di atas padang Malaysia berjaya menewaskan Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 tahun lalu, kemenangan tersebut telah dibatalkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) susulan isu pemalsuan dokumen pemain warisan.

Justeru, berdasarkan rekod di atas kertas, skuad negara masih lagi gagal mencatat sebarang keputusan positif ke atas skuad Naga Emas itu dalam 10 perlawanan terakhir di peringkat antarabangsa.

Tumpuan kini terarah pada aksi separuh akhir Piala ASEAN 2026 yang menemukan kedua-dua negara sekali lagi dalam usaha merebut tempat ke perlawanan akhir minggu ini.

Vietnam datang ke separuh akhir Piala ASEAN 2026 dengan status juara bertahan, rekod tanpa kalah di peringkat kumpulan dan keyakinan tinggi.

Malaysia pula hadir dengan cerita berbeza dengan status selaku pasukan bukan pilihan dan tidak diberi sebarang tekanan untuk menjulang trofi selepas berjaya mencipta kejutan mara ke kelompok separuh akhir.

Namun, pada dua perlawanan timbal balik ini sebenarnya peluang Harimau Malaya untuk merobek ego Vietnam sekali gus menebus semula maruah 12 tahun yang telah hilang.

Ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe sendiri mengakui Harimau Malaya tidak mempunyai apa-apa untuk ‘digadaikan’ apabila berdepan Vietnam dengan hanya menyatakan pasukan lawan adalah ujian paling berat dalam kejohanan kali ini.

Apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh 180 minit dan dalam bola sepak, keajaiban sering terjadi apabila pasukan bukan pilihan mampu untuk mencatat kejayaan.

Aksi pertama di Stadium Kuala Lumpur, Cheras, Ahad ini bakal menjadi penentu buat Malaysia untuk meraih kelebihan sebelum bertandang ke Vietnam untuk aksi timbal balik pada 19 Ogos depan.

Jika stadium dapat dipenuhkan dengan sorakan penyokong bergema seperti ketika menentang Filipina, sudah tentu dapat menggerunkan pasukan kendalian Kim Sang-sik.

Bekas pemain kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui peluang untuk skuad negara mara ke final cerah walaupun barisan pemain yang dipanggil kali ini belum ada pengalaman yang mencukupi di peringkat antarabangsa.

“Saya rasa pasukan yang dipanggil kali ini berjaya mengejutkan ramai pihak untuk mara ke peringkat separuh akhir Piala ASEAN 2026.

“Prestasi mereka sepanjang peringkat kumpulan lepas memberi sedikit keyakinan dengan peluang untuk melangkah jauh agak cerah.

“Paling penting, kita doakan mereka untuk mengembalikan martabat bola sepak Malaysia. Masuk ke final satu kejayaan bagi pasukan ini,” katanya.

Sementara itu, bekas pengurus skuad Harimau Malaya, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar mengambil pendekatan lebih realistik supaya tidak memberi tekanan kepada pasukan kebangsaan.

“Apabila kita dijangkakan bertemu Vietnam, saya rasa peluang agak sukar sedikit kerana persediaan yang singkat oleh pasukan kebangsaan itu sendiri dan pemilihan pemain agak terhad,” katanya.

Apa yang pasti, Malaysia tidak semestinya memerlukan keputusan luar biasa kerana kemenangan tipis tanpa bolos juga boleh menjadi senjata positif untuk dibawa ke Hanoi.

The post Misi hapus badi 12 tahun appeared first on Kosmo Digital.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved