
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Setiap yang bergelar anak pastinya ingin membuat ibu bapa bangga dengan kejayaan yang dimiliki.
Ini kerana sebagai anak kita melihat setiap penat jerih mereka dalam membesar dan pengorbanan yang dilakukan oleh ibu ayah.
Oleh itu, sudah tentu ramai yang menyimpan hasrat untuk membalas jasa mereka dengan menjadi insan berguna, pelajar cemerlang dan banyak lagi.
Misi bawak ibu ayah naik pentas ambil keputusan cemerlang berjaya
Baru-baru ini, seorang pelajar lelaki berjaya mencapai impian untuk membuatkan ibu bapa bangga apabila mendapat keputusan yang cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), semalam (24 Jun).
Menerusi video yang dikongsikan oleh Amirul Akmal di TikTok, awalnya kelihatan dia menangis sebak selepas mengetahui mendapat keputusan cemerlang untuk STPM iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.0.
Menangis sebaik tahu dapat keputusan cemerlang
Jelas dia menangis sewaktu melihat keputusan tersebut seolah-olah tidak percaya dengan keputusan yang dimiliki.
Malah dia juga mengatakan misinya tidak akan berjaya selagi tidak membawa ibu ayah ke atas pentas.
“Misi saya tidak akan pernah lengkap sehingga saya membawa kedua ibu bapa naik ke pentas bersama-sama,” tulisnya dalam video tersebut.
Ternyata misi itu berjaya apabila dia mendapat keputusan cemerlang dan turut jalan beriringan dengan ibu serta ayah untuk naik ke pentas sekolah berkenaan.
Sebaik naik ke pentas, kelihatan guru menyarungkan Amirul selempang sebagai ucapan tahniah atas keputusan cemerlang yang dimilikinya itu.
Malah dia dan ibu bapanya sempat bergambar bersama para guru untuk merakam momen indah tersebut.
“Mission accomplished,” katanya lagi selepas berjaya membawa ibu ayah naik pentas bersama-sama.
@amirulkmall mission accomplished 🥹! #STPM2024 ♬ bunyi asal – meknaa_lyrics
Fadhlina Sidek turut ucap tahniah pada Amirul atas keputusan cemerlang
Menerusi video, Amirul turut berkongsi keputusan STPM yang dimilikinya dan rata-rata menunjukkan dia mendapat banyak gred A dalam empat subjek yang diambil.
Video yang dikongsikan oleh Amirul Akmal itu turut mendapat perhatian Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek apabila beliau mengucapkan tahniah di ruangan komen.
Amirul turut mengucapkan terima kasih kepada Fadhlina kerana sudah menaikkan martabat STPM.

Mengintai di ruangan komen, ramai yang mengucapkan tahniah kepada pelajar ini, malah ada yang mendoakan agar dia mendapat universiti yang diinginkan.
Tidak kurang juga ada yang turut berasa sebak apabila melihat pelajar lelaki itu berjaya mencapai cita-citanya untuk membawa ibu ayah naik ke pentas.
“Saya faham apa awak rasakan, sebab dari Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) sampai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tak pernah berjaya bawa ibu ayah naik pentas sampai lah struggle STPM dan hanya bawa mama je naik pentas sebab papa dah tak ada..”

“Tahniah, semoga mendapat tempat terbaik di universiti dengan minat dan keperluan”

“Bijaknya kau dik, STPM susah tau. Tahniah-tahniah tumpang bangga anak Melayu dapat 4.0 untuk STPM. Bukan senang”


