Misteri Ketukan Menghantui - Pengalaman Seram Sukar Dilupakan #KisahSeram

13 Sep 2024 • 7:00 PM MYT
Shelina Winthya
Shelina Winthya

Social media girlie, heart-led writer.

image is not available
Sumber: Freepik

Ditulis Oleh Shelina Winthya

Kisah ini berlaku bertahun-tahun lalu, ketika saya masih belajar di sekolah rendah, namun kenangan kekal segar di sebalik ingatan saya - memberikan rasa seram setiap kali saya mengingatinya. Sebagai seorang yang tidak pernah percaya kepada perkara-perkara mistik sebegini, kejadian ini megubah pandangan saya tentang dunia yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Saya berusia 9 tahun ketika itu, belajar di sebuah sekolah tempatan yang terdekat dengan taman perumahan saya. Pada hari itu, cuacanya mendung, dan pada sekitar jam 2 petang, semua murid diminta untuk menghadiri ceramah mengenai “Bahaya Dadah” di dewan tertutup selepas perhimpunan sesi petang. Dewan itu terletak bersebelahan dengan pentas utama. Kami semua duduk beramai-ramai mendegar ceramah yang disampaikan oleh pihak berkuasa.

Ketika itu, saya berkawan rapat dengan Farah dan kami selalu ke mana-mana. Seperti kebanyakan kanak-kanak perempuan yang lain, kami mempunyai tabiat pergi ke tandas bersama. Pada masa itu, sekolah kami memperkenalkan peraturan baru yang menghendaki pelajar menanggalkan kasut sebelum masuk ke tandas dan memakai selipar kayu Jepun berwarna merah yang disediakan di rak bersebelahan tandas. Bagi kami, ia agak menyusahkan kerana perlu membuka dan memasang semula kasut setiap kali ingin ke tandas segera. Selipar kayu itu juga sukar untuk dipakai di atas lantai tandas yang licin. Namun, itulah yang perlu dilakukan.

Hari itu, semasa ceramah sedang berlangsung, saya dan Farah memohon izin daripada guru untuk ke tandas. Setelah mendapat kebenaran, kami berjalan menuju ke tandas yang terletak bersebelahan dewan. Kami berbual-bual kecil sambil menanggalkan kasut dan memakai selipar kayu ke dalam tandas perempuan yang bersebelahan dengan pentas utama. Tiada apa yang aneh, hanya hari biasa seperti yang lain.

Selepas masuk ke dalam tandas, kami memilih bilik bersebelahan seperti biasa. Walaupun berada dalam bilik yang berasingan, kami terus berbual melalui dinding bilik air. Tiba-tiba, ketika saya sedang menyahut Farah, satu bunyi dentuman kuat menghentam pintu tandas saya. Saya terdiam. “Mungkin Farah bergurau”, saya berfikir. Namun bunyi itu datang lagi, kali ini lebih kuat dan berulang-ulang.

Saya tunduk dan melihat bayang-bayang kaki di bawah pintu tandas. Dengan yakin saya berkata, “Farah, kenapa ketuk pintu kuat sangat? Tunggu sekejap, aku keluar ni”. Tetapi apa yang membuatkan jantung saya hampir terhenti ialah apabila saya mendengar suara Farah dari bilik sebelah berkata, “Bukan aku! Aku pun dengar benda yang sama”.

Jantung saya berdegup kencang. Jika Farah berada dalam bilik air, siapakah yang berada di luar? Tak mungkin ada orang lain yang masuk sebelum kami kerana hanya kita berdua yang berada dalam tandas. Saya cuba bertenang tetapi fikiran saya semakin kalut. Tiba-tiba kami terdengar suara ketawa kecil, mirip suara seorang rakan kelas kami yang bernama Izzati. Kami mula memanggilnya, tetapi tiada jawapan yang diberi. Hanya bunyi dentuman pintu yang kuat, seolah-olah ada seseorang atau sesuatu yang sedang menghentam pintu tandas kami.

Image from: Misteri Ketukan Menghantui - Pengalaman Seram Sukar Dilupakan #KisahSeram
Sumber: Freepik

Dalam keadaan panik, saya dan Farah mengambil keputusan untuk keluar serentak. Kami mengira hingga tiga, lalu membuka pintu tandas kami berada dalam masa yang sama. Apa yang kami melihat benar-benar menakutkan. Tandas itu sunyi, tiada sesiapa di luar. Tidak mungkin ada sesiapa yang sempat lari keluar, kerana selipar kasut kayu yang perlu dipakai pasti akan mengeluarkan bunyi bising di atas lantai licin, dan tiada tanda-tanda seperti sesiapa yang baru keluar.

Kami lari keluar dari tandas secepat mungkin tanpa menoleh ke belakang selepas memahami apa yang baru berlaku. Setibanya di dewan, kami terus bertanya kepada guru jika mereka melihat sesiapa yang masuk ke tandas selepas kami. Namun, guru itu memberitahu tiada sesiapa pun memasuk ke tandas perempuan, malah Izzati yang kami sangka sedang bergurau itu duduk berhampiran sepanjang masa.

Kami berdua memandang antara satu sama lain, jelas kelihatan ketakutan di wajah Farah seperti mana yang saya rasakan. Kami segera pergi ke Izzati dan bertanya, tetapi dia mengesahkan bahawa dia tidak pernah bergerak dari tempat duduknya. Rakan-rakan lain yang berada berdekatan juga tidak melihat sesiapa yang masuk ke tandas selepas kami.

Pada saat itu, kami tahu sesuatu yang aneh telah berlaku. Bukan sahaja pintu diketuk dengan kuat, tetapi bayang-bayang kaki dan suara yang kami berdua dengar tidak datang dari manusia yang kami kenali. Sejak kejadian itu, saya tidak lagi berani masuk ke tandas sekolah.

Kisah ini walaupun hanya berlangsung beberapa minit, meninggalkan kesan yang mendalam terhadap saya. Sehingga kini, setiap kali saya teringat kejadian itu semasa orang tanya saya tentang aktiviti paranormal. Mungkin bukan semua perkara di dunia ini boleh dijelaskan dengan logik atau sains. Ada masanya tertentu, kita hanya boleh berdiam dan menerima bahawa ada sesuatu yang berada di luar pemahaman kita.


Image from: Misteri Ketukan Menghantui - Pengalaman Seram Sukar Dilupakan #KisahSeram

Hantar artikel/video berkaitan #KisahSeram dan berpeluang menangi hadiah sebanyak RM5,500! Ketahui lebih lanjut di sini.


Shelina Winthya adalah seorang penulis dalam program Newswav Creator, di mana anda boleh berkongsi cerita, meluahkan pandangan anda, atau menjadi wartawan rakyat dan pada masa yang sama mengewangkan kandungan anda & menjangkau jutaan pengguna di Newswav. Log masuk ke creator.newswav.com dan daftar sebagai Newswav Creator sekarang!

Kandungan Pengguna (“User Content” seperti yang ditakrifkan pada Syarat Penggunaan Newswav) di atas termasuk pandangan yang dinyatakan dan media (gambar, video, petikan dan lain-lain) dimuatnaik & diterbitkan oleh pengarang. Newswav adalah platform pengagregatan yang semata-matanya mengehoskan kandungan. Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan tentang kandungan karya, hak cipta atau isu lain, sila hubungi Newswav.