Misteri Pelajar Kolej Hilang Terjawab, Mayat Ditemui Di Bawah Jambatan Sungai Klang

30 Jul 2025 • 5:41 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Misteri kehilangan seorang pelajar kolej sejak Sabtu lalu terjawab apabila mayatnya ditemui di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pada Selasa.

Pelajar kolej dilapor hilang, ditemui meninggal

Menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan orang hilang pada 26 Julai lalu yang dibuat kakak mangsa berusia 23 tahun itu.

image is not available

Foto: Carian Google

Menurutnya, berdasarkan laporan, mangsa sebelum itu meminta dijemput di Stesen LRT Putra Heights pada jam 12 tengah hari, 25 Julai. Namun, dia gagal dihubungi sehingga keesokan harinya.

“Polis kemudian menerima maklumat penemuan mayat dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat kunci di poket seluar si mati. Pemeriksaan lanjut di rumah mangsa di Jalan Klang Lama turut dilakukan,” katanya.

Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan pelajar kolej tersebut berada di kawasan itu sebelum dilaporkan hilang. Waris kemudian dipanggil untuk pengecaman, sekali gus mengesahkan pakaian yang dipakai adalah milik mangsa.

image is not available

Foto: FB mynewshub

“Cap jari si mati dihantar ke makmal untuk pengesahan identiti sebelum mayat diserahkan kepada keluarga,” ujarnya.

Bedah siasat telah dijalankan di Hospital Serdang pada jam 8 pagi semalam, namun laporan penuh masih belum diperoleh. Pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah.

image is not available

Terdahulu, media melaporkan penduduk gempar dengan penemuan mayat wanita dalam keadaan tertiarap di atas batu di bawah jambatan Jalan Jurutera Batu 13, Puchong.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sumber: Harian Metro (Raja Noraina Raja Rahim)