
KUALA LUMPUR - Isu penyiaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia hampir menemui jalan penyelesaian apabila syarikat swasta tampil menanggung kos tinggi hak siaran yang sebelum ini gagal dipikul kerajaan.
Kejohanan yang bakal membuka tirai pada 11 Jun itu sebelum ini berdepan ketidaktentuan apabila kerajaan tidak mampu menanggung kos hak penyiaran yang mencecah sekitar RM200 juta.
Bagaimanapun, situasi berubah apabila pihak swasta hampir pasti bersetuju untuk jumlah yang ditetapkan oleh FIFA, sekali gus membuka peluang rakyat Malaysia menyaksikan kejohanan berprestij itu secara rasmi.
Di fahamkan Telekom Malaysia adalah syarikat yang di maksudkan.
Langkah itu dilihat sebagai ‘penyelamat’ kepada peminat bola sepak tempatan yang sebelum ini bimbang terlepas aksi pasukan terbaik dunia.
Perkembangan ini dijangka mencetuskan kelegaan besar kepada rakyat, selain menghidupkan semula kemeriahan ‘demam Piala Dunia’ di seluruh negara menjelang sepak mula Jun ini.
Terdahulu, isu tayangan siaran langsung perlawanan Piala Dunia di negara ini menjadi bualan hangat apabila penyiar rasmi masih gagal ‘ditemui’ walaupun waktu semakin suntuk.
Sejak sekian lama, tayangan Piala Dunia di Malaysia secara tradisinya dianjurkan menerusi gabungan penyiar awam, penyedia televisyen satelit, penaja korporat dan dalam sesetengah keadaan, premis makanan dan minuman popular.
Radio Televisyen Malaysia, penyiar awam negara, menyiarkan 41 daripada 67 perlawanan FIFA World Cup 2018 secara percuma pada 2018.
Astro pula, sebagai penyiar televisyen berbayar utama di Malaysia, secara konsisten memegang hak penyiaran kesemua 64 perlawanan Piala Dunia pada 2010, 2018 dan 2022.
Sementara itu, syarikat seperti Maxis dan AirAsia sebelum ini bertindak sebagai penaja korporat bagi liputan perlawanan percuma RTM pada 2018.
Syarikat minuman ikonik Coca-Cola turut menyumbang kepada penganjuran acara seperti Jelajah Trofi Piala Dunia FIFA, yang membawa trofi bola sepak berprestij itu ke Malaysia pada 2010, 2014, serta pada 21 Januari tahun ini di Sunway Pyramid.
Difahamkan, Malaysia berpotensi kehilangan antara RM70 juta hingga RM180 juta dalam aktiviti ekonomi langsung sekiranya gagal memperoleh hak penyiaran bagi FIFA World Cup 2026.
Tayangan kejohanan berprestij itu secara kasarnya berupaya membawa limpahan ekonomi melebihi RM200 juta hingga RM300 juta. - Getaran, 16 April 2026

