
MITI Day 2024 Tawar 2,600 Peluang Pekerjaan Serta Insentif Kepada Belia, Wanita Dan PMKS
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sekali lagi bakal menganjurkan MITI Day 2024, satu platform penting yang bertujuan memberi peluang kepada masyarakat – khususnya belia, wanita dan PMKS – untuk berinteraksi dengan agensi-agensi kerajaan serta pemain industri, seterusnya memanfaatkan inisiatif yang tersedia terutamanya dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan.
Acara tahunan yang bertempat di Menara MITI, Kuala Lumpur kali ini dijangka menampilkan lebih 2,600 peluang pekerjaan untuk belia melalui penglibatan daripada 22 syarikat tempatan dan antarabangsa. Ianya bakal menarik lebih 10,000 pengunjung yang berpeluang memanfaatkan inisiatif-inisiatif kerajaan dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.
- Eksplorasi Kerjaya: 22 syarikat menawarkan pelbagai peluang pekerjaan, menjadikan MITI Day 2024 sebagai platform penting bagi pencari kerja untuk mendapatkan peluang kerjaya dalam sektor-sektor strategik.
- Pameran TVET & Akademi Dalam Industri: Memberi tumpuan kepada pembangunan modal insan, pameran ini menghubungkan pencari kerja dan pelajar dengan peluang latihan vokasional serta kemahiran yang diperlukan oleh industri masa kini.
- Pameran Kementerian & Agensi: Pengunjung berpeluang memahami dengan lebih mendalam peranan MITI dan agensi-agensinya dalam menyokong pembangunan perniagaan, perdagangan, pelaburan, dan inovasi di Malaysia.
- Taklimat Perniagaan, Pelaburan & Saham: Pengunjung berpeluang mendalami strategi perniagaan, peluang pelaburan dan pasaran saham melalui sesi taklimat yang dikendalikan oleh pakar-pakar industri.
- Jualan Harga Kilang & Usahawan Tempatan: Peluang untuk membeli produk berkualiti tinggi pada harga kilang, sambil menyokong usahawan tempatan yang semakin berkembang.
- Mini Malaysia Autoshow: Menampilkan inovasi terkini dalam sektor automotif, pameran ini menjadi tarikan bagi mereka yang berminat dengan perkembangan teknologi kenderaan.
- Kaunter Diskaun Saman oleh PDRM: Pengunjung turut berpeluang menyelesaikan saman dengan diskaun 30% yang ditawarkan oleh PDRM semasa acara berlangsung.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, “MITI amat berbesar hati kerana dapat menganjurkan MITI Day 2024 bagi mendekatkan Kementerian ini kepada masyarakat akar umbi. Kita mahu memastikan inisiatif-inisiatif MITI memanfaatkan semua lapisan industri – dari syarikat yang pelbagai saiz, hinggalah kepada golongan usahawan.
Khusus bagi belia dan pencari kerja, mesej penting yang hendak disampaikan adalah mengenai prospek kerjaya yang baik di dalam sektor industri pembuatan dan perkhidmatan. Melalui pendekatan ini, saya yakin kita dapat bersama-sama membangunkan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk Malaysia.”
MITI Day 2024 bukan sekadar satu sebuah hari terbuka, tetapi satu usaha yang menekankan keutamaan MITI dalam memperkasa ekonomi rakyat dan menyokong transformasi industri negara untuk kesejahteraan bersama.
The post MITI Day 2024 Tawar 2,600 Peluang Pekerjaan Serta Insentif Kepada Belia, Wanita Dan PMKS appeared first on Siakap Keli.


