
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini (22 Sept) tampil menjelaskan pihaknya tidak mempunyai makluman berhubung penyelarasan syarat pemilikan institusi pendidikan swasta (IPS) di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).
MITI menerusi satu kenyataan berkata, ini kerana perkara berkaitan dasar pemilikan ekuiti Bumiputera adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi (EPU).
“Pihak Kementerian (MITI) ingin menjelaskan bahawa tidak mempunyai makluman mengenai perkara tersebut.
“MITI berharap penjelasan ini dapat membantu memperbetul peranan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam perkara ini supaya maklumat yang disampaikan kepada pihak awam adalah tepat dan jelas,” katanya susulan kenyataan media KPM berhubung penyelarasan syarat pemilikan IPS tersebut.
KPM pada Isnin umum pemilikan 30% Bumiputera bukan lagi syarat syarikat Sdn Bhd operasikan IPS
KPM pada 21 September sebelum ini berkata, pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera tidak lagi ditetapkan sebagai syarat bagi syarikat sendirian berhad yang mengoperasi IPS di bawah kementeriannya.
Menurut KPM, keputusan itu dipersetujui selepas sesi perbincangan dengan MITI.
Dalam kenyataan sama, KPM berkata pihaknya mengambil maklum pandangan yang dibangkitkan berhubung syarat pemilikan sekurang-kurangnya 30% ekuiti Bumiputera bagi IPS tertentu yang dimiliki melalui syarikat sendirian berhad seperti yang dinyatakan dalam Buku Pernyataan Dasar IPS yang diterbitkan pada 2006.
“Penyelarasan ini dibuat bagi memenuhi keperluan semasa sektor pendidikan serta memastikan ruang penyertaan dalam pendidikan kekal terbuka kepada semua pihak yang mahu menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara.”





