MITI Jana Potensi Eksport Bernilai RM2.65 Bilion Ke Pakistan

4 Oct 2024 • 2:59 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

MITI Jana Potensi Eksport Bernilai RM2.65 Bilion Ke Pakistan

Kementerian Pelaburan, Perdagangan & Industri (MITI) telah berjaya menjana potensi eksport bernilai RM2.65 bilion dan potensi pelaburan sebanyak RM100 juta dalam tempoh tiga tahun akan datang semasa Lawatan Rasmi Sulung Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Anwar Ibrahim ke Republik Islam Pakistan dari 2 hingga 4 Oktober 2024.

Potensi eksport dan pelaburan ini melibatkan sektor seperti minyak sawit, kayu, baja, petrokimia oleokimia, pemprosesan makanan, dan farmaseutikal. Lawatan ini turut disertai Menteri MITI, YB Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz.

Semasa lawatan rasmi tersebut, Tengku Zafrul telah mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya, TYT Jam Kamal Khan, Menteri Perdagangan Pakistan, bagi membincangkan cadangan semakan semula Perjanjian Perkongsian Ekonomi Lebih Rapat Malaysia-Pakistan (MPCEPA) dan potensi kerjasama dalam sektor seperti makanan, pertanian, halal, sektor IT serta rantaian bekalan.

Tengku Zafrul berkata, “Malaysia komited untuk memantapkan lagi kerjasama ekonomi yang lebih kukuh bersama Pakistan dalam bidang yang memberi manfaat bersama. Dengan kedudukan strategik Malaysia di Asia Tenggara, serta pelbagai persamaan antara kedua-dua negara, Malaysia adalah pintu masuk ideal bagi Pakistan ke pasaran lain di ASEAN.”

Kedua-dua Menteri percaya bahawa pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Pihak Berkuasa Pembangunan Perdagangan Pakistan (TDAP) serta pembukaan pejabat MATRADE di Karachi akan dapat memperkukuh dan memperdalam hubungan ekonomi dua hala antara kedua-dua negara. Merujuk kepada hubungan ekonomi Malaysia

Pakistan yang kukuh, Menteri Jam Kamal Khan turut mencadangkan agar delegasi perniagaan Pakistan melawat Malaysia untuk mengeratkan hubungan di antara sektor swasta kedua-dua negara.

MITI turut menganjurkan Dialog Perniagaan Peringkat Tinggi Malaysia-Pakistan yang dihadiri oleh kedua-dua Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Yang Berhormat Shehbaz Shariff bersama menteri-menteri lain, termasuk Menteri Perdagangan Pakistan. Dialog perniagaan ini dihadiri oleh 42 syarikat terkemuka dari Pakistan dan 24 syarikat dari Malaysia dalam pelbagai sektor seperti farmaseutikal, pemprosesan makanan, kimia, automotif dan tekstil.

Turut hadir ialah wakil daripada tujuh persatuan perniagaan termasuk Dewan Perniagaan Islamabad dan Majlis Perniagaan Malaysia Pakistan (MPBC). Dialog perniagaan ini memberikan peluang kepada komuniti perniagaan Malaysia dan Pakistan untuk berkongsi maklum balas serta perkembangan terkini berhubung dasar dan strategi kedua-dua negara dalam mengukuhkan lagi kerjasama dalam sektor-sektor baharu dan yang sedang berkembang.

Di kalangan negara-negara Asia Selatan, Pakistan merupakan rakan dagang ketiga terbesar dan destinasi eksport utama Malaysia serta sumber import kedua terbesar pada tahun 2023. Dari Januari hingga Ogos 2024, jumlah dagangan Malaysia-Pakistan mencatatkan peningkatan sebanyak 54.8%, mencapai RM5.68 bilion (USD1.21 bilion).

Dari segi pelaburan, sebanyak 27 projek pembuatan dengan penyertaan syarikat Pakistan bernilai RM304.14 juta (USD81.89 juta) telah dilaksanakan, yang telah mewujudkan 1,382 peluang pekerjaan dalam industri seperti kertas, percetakan & penerbitan, pemprosesan makanan, tekstil dan produk kimia & kimia.