MITI peroleh RM29.6 bilion potensi pelaburan, RM2.8 bilion eksport daripada dua misi ke Jepun tahun ini

Business & Finance
19 Dec 2023 • 2:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MITI peroleh RM29.6 bilion potensi pelaburan, RM2.8 bilion eksport daripada dua misi ke Jepun tahun ini

diyana

19/12/2023 - 14:55

KUALA LUMPUR 19 Dis - Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) telah memperoleh potensi pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM29.6 bilion dan potensi eksport sebanyak RM2.8 bilion daripada dua misi pelaburan ke Jepun sejak Jun tahun ini.

Dalam satu kenyataan media hari ini, MITI berkata misi pertama pada Jun membawa pulang RM23 bilion potensi pelaburan dan RM2.1 bilion potensi eksport.

Bagi misi kedua baru-baru ini yang berlangsung dari 18 hingga 19 Disember, mereka meraih RM6.6 bilion potensi pelaburan dan RM700 juta potensi eksport.

Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz berkata pencapaian tersebut mencerminkan hubungan kukuh, terjalin lama, saling menguntungkan antara Malaysia dan Jepun dalam perdagangan dan pelaburan.

“Sebahagian besar daripada pelaburan baharu ini adalah daripada sektor sasaran MITI, termasuk tenaga boleh diperbaharui, elektrik dan elektronik, kimia dan ekonomi digital, sejajar dengan misi dan hasil yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP2030),” ujar beliau dalam kenyataan tersebut.

Tengku Zafrul berkata pelaburan terbabit akan menyokong misi negara untuk menerima teknologi dan pendigitalan bagi memacu inovasi, meningkatkan produktiviti dan mencipta peluang baharu pertumbuhan ekonomi serta menyahkarbonkan sektor pembuatan.

image is not available
Anwar (tengah) menghadiri mesyuarat meja bulat yang dihadiri oleh 25 kapten industri Jepun diiringi Tengku Zafrul. [Foto FB Tengku Zafrul]

Oleh itu, katanya, MITI berazam memastikan pelaburan ini direalisasikan dengan cepat agar dapat membawa lebih banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pekerjaan bergaji lebih baik untuk rakyat Malaysia.

“Pelbagai kelulusan pelaburan, di peringkat persekutuan dan negeri, telah disegerakan menerusi Jawatankuasa Tindakan Penyelarasan Pelaburan dan Perdagangan (JTPPP) dan Mesyuarat Jawatankuasa Koordinasi Pelaburan (ICCM),” tambah beliau.

Difasilitasi oleh dua agensi MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), misi ke Jepun baru-baru ini diadakan serentak dengan Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Jepun, di mana delegasi Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim .

Di samping itu, MITI dan agensinya juga mengatur mesyuarat meja bulat di antara Anwar dan 25 kapten industri Jepun, serta pertemuan bersemuka dengan ROHM Wako, NEC Corporation dan Mitsui & Co., Ltd.

Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan satu dengan satu dengan Miyoshi Oil and Fat Co., Ltd, Marubeni Corporation, Nichicon Corporation dan Itochu Corporation. - DagangNews.com