MITI tetapkan syarat baharu import EV CBU

LocalCars
6 May 2026 • 5:38 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: MITI tetapkan syarat baharu import EV CBU
Ketetapan itu dibuat susulan tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV di bawah AP Francais dalam bentuk CBU selama empat tahun telah tamat pada 31 Disember 2025.

KUALA LUMPUR - Semua pengimportan kenderaan elektrik (EV) yang dipasang siap di luar negara (CBU) tertakluk kepada dua syarat utama termasuk had kuasa motor minimum diselaraskan daripada 200kW kepada 180kW dan ke atas mulai 1 Julai 2026.

Menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), syarat lain adalah nilai kos, insurans dan pengangkutan minimum sebanyak RM200,000.

"Penyelarasan ini telah dimaklumkan kepada syarikat pemegang AP Francais melalui sesi libat urus yang diadakan pada 30 April, 2026,” jelas MITI dalam kenyataan pada Rabu. 

MITI memaklumkan ketetapan itu dibuat susulan tempoh pengecualian khas bagi pengimportan EV di bawah AP Francais dalam bentuk CBU selama empat tahun telah tamat pada 31 Disember 2025.

Oleh yang demikian, dasar berkaitan EV CBU telah dikembalikan kepada ketetapan sedia ada, tambah MITI.

"Bagaimanapun, dengan mengambil kira bahawa syarikat masih mempunyai baki stok termasuk stok sedia ada, stok di pelabuhan serta stok dalam transit, MITI membenarkan stok berkenaan dijual mengikut ketetapan dalam tempoh pengecualian khas sehingga habis,” jelas kementerian itu.

Menurut MITI, pihaknya kekal komited untuk memastikan persekitaran dasar yang telus, konsisten dan seimbang dalam menyokong pembangunan industri automotif serta melindungi kepentingan ekonomi negara dan hak pengguna kenderaan. - Bernama