MKBHD, salah seorang pengulas terkemuka dalam arena YouTube, khususnya memfokuskan kepada produk teknologi dan gajet, hari ini turut memperkenalkan aplikasi pertama yang dibangunkan bersama, dinamakan Panels. Panels menghimpunkan pelbagai gambar latar yang digunakan pada peranti-peranti yang diulas pada saluran MKBHD berkenaan.

Aplikasi Panels ini ditawarkan pada harga langganan RM61 sebulan, atau RM255 setahun. Bukan sahaja harga langganan ini agak tinggi, tetapi aplikasi sama juga turut menyertakan permintaan kepada pelbagai data, termasuk melibatkan lokasi, penggunaan, dan sebagainya yang mungkin tidak diperlukan sepatutnya untuk sebuah aplikasi gambar latar. Namun, data berkenaan mungkin diperlukan untuk paparan iklan melalui aplikasi tersebut. Versi percuma penawaran gambar latar melalui Panels ini hadir dengan keperluan pengguna melihat sekurangnya dua iklan, dan boleh memuat-turun gambar latar pada kualiti biasa.

Bagi anda yang meminati gambar latar pada produk-produk yang diulas MKBHD, mungkin boleh mendapatkan aplikasi Panels ini. Atau sebagai alternatif, anda turut boleh mendapatkan gambar melalui aplikasi seperti Zedge atau terus dari laman seperti Unsplash.
Jadi, pada harga langganannya, adakah anda akan mendapatkannya? Aplikasi Panels ini ditawarkan untuk Android dan juga iPhone.
