MKH beli tanah pegangan bebas di Semenyih berharga RM42.21 juta bagi pembangunan komersial

29/04/2025 - 09:26
Oleh Amree Ahmad
KUALA LUMPUR 29 April — MKH Berhad menerusi Serentak Maju Corporation Sdn Bhd mengambil alih sebidang tanah pegangan bebas di Semenyih, Selangor dengan pertimbangan tunai RM42.21 juta bagi tujuan pembangunan komersial.
Kawasan tersebut dimiliki syarikat tersenarai pegangan pelaburan dan perladangan kelapa sawit, Inch Kenneth Kajang Rubber Public Limited Company, berkeluasan kira-kira 6.0323 hektar dengan akses menerusi laluan utama di Jalan Bangi Lama.
Ia ketika ini ditanam pokok kelapa sawit dan MKH pula bercadang untuk melaksanakan pembangunan komersial di atas tanah tersebut setelah proses pengambilalihan selesai dengan anggaran nilai pembangunan kasar kira-kira RM170 juta.
"MKH akan membayar sejumlah RM21.1 juta selepas pemeteraian perjanjian jual beli, dengan sejumlah RM19.84 juta daripadanya akan dijelaskan terus kepada Inch Kenneth Kajang," kata MKH dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara baki sebanyak RM1.27 juta, iaitu tiga peratus daripada harga belian tersebut katanya, akan diletakkan bersama-sama peguam caranya sebagai jumlah simpanan untuk tujuan Cukai Keuntungan Harta Tanah.
Ia berkata, RM17.6 juta akan dibayar dalam tempoh 14 hari selepas permohonan penukaran penggunaan tanah kepada komersial dikemukakan kepada pejabat tanah manakala RM3.5 juta dipegang oleh peguamcara MKH untuk premium penukaran tanah.
MKH berkata bahawa, ia merancang untuk membiayai pengambilan tanah perladangan berkenaan melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank.
Kumpulan itu menambah bahawa, cadangan pengambilalihan itu tidak akan memberi sebarang kesan material ke atas aset bersih disatukan dan pengemudian MKH bagi tahun kewangan berakhir pada 30 September 2025 (FY2025).
"Usaha pengambilalihan tanah ini turut akan memberi peluang kepada MKH untuk dapat terus mengembangkan dan memanfaatkan kepakaran serta kejayaan kumpulan dalam pembangunan hartanah di Selangor," kata syarikat berkenaan.
Cadangan pembangunan kediaman dan komersial di atas tanah tersebut katanya, turut memberi petanda baik untuk pertumbuhan masa depan kumpulan dan prospek pendapatan. - DagangNews.com
standard

