MMC Engineering, Pecca dan Xcel Itech berminat sertai Hab Industri Rel Selangor

LocalBusiness & Finance
29 Sep 2026 • 4:37 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

MMC Engineering, Pecca dan Xcel Itech berminat sertai Hab Industri Rel Selangor Image from: MMC Engineering, Pecca dan Xcel Itech berminat sertai Hab Industri Rel Selangor liza29/09/2026 - 16:37 Gambar hiasan Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Sept – Hab Industri Rel Selangor mula menarik penyertaan industri apabila tiga syarikat, MMC Engineering Bhd, Pecca Leather dan Xcel Itech Sdn Bhd menyatakan hasrat untuk terlibat dalam pembangunan hab berkenaan yang merangkumi pemasangan dan pengujian tren, latihan tenaga kerja serta pembangunan simulator tren.

 

SIRIM Berhad menerima surat hasrat daripada ketiga-tiga syarikat itu susulan pelancaran Hab Industri Rel Selangor menerusi Invest Selangor Bhd pada pameran InnoTrans 2026 di Berlin, Jerman.

 

Penglibatan MMC Engineering melibatkan cadangan untuk mewujudkan operasi pemasangan dan pengujian tren tempatan, sekali gus menyokong pembangunan keupayaan industri rel di Selangor.

 

Pecca Leather pula akan membangunkan akademi latihan khusus bagi standard tempat duduk dan kemasannya dengan tumpuan kepada pembangunan kemahiran tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

 

Xcel Itech pula akan bekerjasama dengan SIRIM dalam membangunkan, menguji, mengesahkan serta mengkomersialkan platform dan rangka kerja simulator tren.

 

Ketiga-tiga penyertaan itu meliputi sebahagian daripada fokus utama Hab Industri Rel Selangor, yang turut merangkumi penyepaduan sistem dan  rantaian bekalan industri rel tempatan.

 

Hab dibangunkan secara berperingkat

Hab berkenaan dibangunkan di Taman Perindustrian Zurah, Rasa, Hulu Selangor, dengan fasa pertama bermula di premis SIRIM melibatkan 36,000 kaki persegi ruang binaan.

 

Kemudahan itu akan menyediakan akses kepada pengesahan teknikal dan pematuhan mengikut Piawaian Industri Kereta Api Malaysia bagi menyokong aktiviti berkaitan industri rel.

 

Fasa kedua akan memperluaskan aktiviti pemasangan dan pengujian ke tapak seluas 7.69 hektar (19 ekar) bersebelahan SIRIM, manakala fasa ketiga dalam jangka panjang akan melibatkan pembangunan taman perindustrian rel khusus seluas 50.59 hektar (125 ekar).

 

Taman perindustrian tersebut terletak kira-kira dua kilometer dari lokasi SIRIM dan akan dibangunkan bagi menampung pertumbuhan industri rel pada masa akan datang.

 

Hab Industri Rel Selangor turut memberi tumpuan kepada kemahiran pekerja yang akan disokong menerusi program latihan berasaskan industri (Rail Teaching Factory) serta Pelan Tindakan Bakat Selangor bagi Industri Rel.

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han, yang mengetuai delegasi negeri ke Jerman, berkata tumpuan aset rel di Selangor mewujudkan peluang untuk memperkukuh keupayaan dalam pengurusan kitar hayat aset, kerja baik pulih sistem secara tempatan serta penyepaduan digital pintar.

 

“Hab Industri Rel Selangor merupakan langkah strategik untuk memanfaatkan peluang ini dan mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kejuruteraan serantau,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved