MN Holdings raih kontrak kejuruteraan pencawang bernilai RM18.5 juta di Nusajaya
azan
20/09/2023 - 14:30
KUALA LUMPUR 20 Sept - MN Holdings Berhad berjaya meraih kontrak kejuruteraan pencawang bernilai RM18.5 juta untuk pusat data GDS (Plot 2) di Taman Teknologi Nusajaya, Johor.
Ia adalah kontrak kedua yang diberikan oleh GDS IDC Services (Malaysia) Sdn. Bhd. untuk pusat datanya di Johor. Kontrak pertama bernilai RM22.5 juta diperoleh pada Oktober tahun lalu.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, anak syarikatnya, MN Power Transmission Sdn. Bhd. telah menerima surat anugerah daripada GDS, sebuah unit GDS Holdings Ltd yang berpangkalan di Shanghai, untuk pelantikannya sebagai kontraktor.
Skop kerja kontrak terdiri daripada reka bentuk, pembekalan, pemasangan, penyelenggaraan, ujian dan pentauliahan untuk 132 kilovolt (kV) dan 33kV stesen pendaratan pengguna interim (CLS) untuk pusat data GDS (Plot 2), termasuk pembongkaran 33/ yang sedia ada. CLS 11kV untuk pusat data GDS (Plot 1) untuk dipindahkan ke Pusat Data GDS baharu (Plot 2).
Kontrak itu adalah untuk tempoh tujuh bulan setengah bermula 1 Oktober 2023 hingga 15 Mei 2024.
Pengarah Eksekutif MN Holdings, Datuk Dang Siong Diang berkata, GDS menyediakan perkhidmatan pusat data termasuk pemprosesan aplikasi data dan perkhidmatan perundingan teknologi maklumat penyimpanan, perdagangan, import dan eksport peralatan pusat data.
“Ini adalah satu pencapaian bagi syarikat kerana ia memberi tumpuan kepada mengukuhkan statusnya untuk berada di barisan hadapan dalam kalangan kontraktor utama Malaysia untuk pusat data.
"Pencapaian ini sejajar dengan pertumbuhan syarikat bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri utiliti bawah tanah dan kejuruteraan pencawang," katanya.
Beliau berkata, MN Holdings menjangkakan prestasi kumpulan itu akan dipacu oleh projek sedia ada dan projek baharu yang akan diperolehi.
Kejayaan projek terkini, menjadikan buku pesanan tertunggak MN Holdings meningkat kepada RM384.27 juta, yang dijangka siap secara berperingkat antara 2023 dan 2024. - DagangNews.com


