MNRB catat untung bersih RM84.6 juta pada suku ketiga 2023
zulfadli
08/02/2024 - 09:25
KUALA LUMPUR 8 Feb - MNRB Holdings Bhd menjangkakan persekitaran ekonomi mencabar di peringkat tempatan dan global, berikutan tekanan inflasi di seluruh dunia kekal tinggi di tengah-tengah harga tenaga yang lebih tinggi, kejutan rantaian bekalan dan risiko geopolitik di Timur Tengah dan Ukraine.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, faktor-faktor tersebut mengekalkan kadar faedah yang tinggi.
MNRB mencatatkan keuntungan bersih yang lebih tinggi sebanyak RM84.6 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Disember 2023, berbanding RM57.4 juta bagi suku yang sama berakhir 31 Disember 2022.
Syarikat insurans itu juga mencatatkan hasil yang lebih tinggi sebanyak RM980.87 juta daripada RM803.69 juta bagi suku dalam tinjauan.
Pendapatan asas sesaham berada pada 10.80 sen berbanding 7.33 sen sebelumnya.
Dalam nota kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata, peningkatan itu disebabkan pergerakan nilai saksama yang menggalakkan bagi pasaran bon dan sukuk perniagaan insurans semulanya dan peningkatan dalam bahagian hasil syarikat bersekutu.
Bagi tempoh terkumpul berakhir 31 Disember 2023, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM195.72 juta berbanding RM47.7 juta bagi tempoh yang sama setahun lalu.
Kumpulan itu berkata, peningkatan itu didorong prestasi pengunderaitan yang lebih baik bagi perniagaan insurans semula dan takaful am kerana pengalaman tuntutan lebih baik dan pendapatan pelaburan lebih tinggi walaupun terdapat sedikit pengimbangan kerugian nyata tidak menggalakkan.
Hasil operasinya juga lebih tinggi pada RM2.8 bilion daripada RM2.3 bilion.
"Peningkatan ini disumbangkan lonjakan pendapatan insurans dan takaful sebanyak RM371 juta disebabkan pertumbuhan kukuh dalam perniagaan takaful am dan insurans semula. Pertumbuhan dalam hasil operasi juga adalah hasil daripada peningkatan dalam pendapatan pelaburan sebanyak RM78.5 juta," katanya.
Melangkah ke hadapan, MNRB berkata, ia akan meneruskan pendekatan strategiknya mengenai peruntukan aset, memfokuskan pada sekuriti yang menghasilkan hasil tinggi dengan asas kukuh.
"Untuk tujuan peningkatan alfa, kumpulan itu melihat peluang dalam pasaran ekuiti tempatan dalam agenda tenaga negara di bawah Pelan Peralihan Tenaga Nasional, Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030, pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, pemulihan dalam sektor cip global dan pertumbuhan domestik yang stabil," katanya.
Selain itu, kumpulan itu berkata, ia menyasarkan untuk memastikan kemajuan yang terukur dan mantap bagi komitmen kemampanannya terhadap Organisasi Sifar Karbon Bersih menjelang 2050.
"Ini termasuk pecutan Pelan Hala Tuju Kelestarian dan mengurus pelaksanaan pelan tindakan kemampanan selaras dengan keperluan kawal selia," katanya. - DagangNews.com

