Adakah anda berusia dan kerap mempunyai isu sakit lutut apabila mendaki atau membawa beban berat? Jika ya, Mo/Go ialah produk yang akan menyelamatkan lutut anda daripada terus mengalami kesakitan. Mo/Go dipasarkan sebagai “seluar berkuasa” kerana ia adalah sepasang seluar yang mempunyai eksorangka terbina. Nama adalah singkatan untuk mountain goat (kambing gunung) yang mempunyai kemampuan mendaki gunung dengan cukup mudah.

Mo/Go dibangunkan oleh Arc’teryx dan Skipyang merupakan sebuah syarikat di bawah Alphabet X Labs. Terdapat eksorangka terbina terus pada seluar dengan ia mengurangkan beban pada lutut apabila dipakai. Ketika mendaki bukit, motor akan membekalkan kuasa dengan pemakai akan terasa seperti tubuh lebih ringan sehingga 13 kilogram. Apabila menuruni bukit pula, ia akan mengurangkan tekanan pada lutut dan kaki sekaligus mengelakkan kecederaan.

Setiap Mo/Go mempunyai bateri yang mencukupi untuk operasi selama tiga jam. Bateri juga boleh dicas semula semasa berjalan. Apabila kehabisan kuasa, bateri boleh ditukar ganti dengan pantas. Seluar berkuasa ini akan dijual menjelang penghujung tahun pada harga $4500 (~RM 32,000) sepasang. Di Amerika Syarikat ia turut boleh disewa pada harga $80 (~RM 371) sehari di lokasi tertentu.
