Model tidak puas hati disaman polis

28 Jul 2023 • 7:01 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang wanita berang selepas disaman hingga melakukan provokasi terhadap anggota polis bertugas dalam kejadian di ibu negara, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - Seorang model wanita menghambur kata-kata kesat kepada polis selepas tidak berpuas hati kerana disaman atas kesalahan lalu lintas ketika memandu di Jalan Tun Sambathan di sini.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu telah tular menerusi satu klip video di aplikasi Tiktok memaparkan perbuatan wanita terbabit yang melakukan provokasi dan menjerit dengan kata kesat kepada dua anggota polis yang sedang bertugas.

Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku pada jam 3.40 petang, Isnin lalu.

"Siasatan mendapati wanita berusia lingkungan 30-an itu tidak puas hati kerana disaman dengan kesalahan memandu menggunakan alat komunikasi dan tidak memakai tali pinggang keledar.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, kejadian itu dikhuatiri boleh menjatuhkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sehingga kini, video terbabit masih boleh diakses serta mempunyai 274 perkongsian di Facebook dan 5,414 perkongsian di Tiktok.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat jenayah boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau tampil di mana-mana balai polis berdekatan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved