
NEW DELHI: Perdana Menteri India, Narendra Modi, bersedia memaafkan penunjuk perasaan yang menghina beliau dalam demonstrasi diketuai golongan belia baru-baru ini.
Kenyataan itu dibuat selepas Parti Lipas Janta (CJP) menganjurkan demonstrasi besar-besaran di New Delhi dan beberapa bandar lain berhubung isu kebocoran kertas peperiksaan, sekali gus menjadi cabaran terbesar terhadap kerajaan Modi sejak kebelakangan ini.
Sebahagian penunjuk perasaan yang dirakam menghina perdana menteri itu dilaporkan berdepan kecaman dalam talian daripada penyokong Modi, selain laporan polis dibuat ke atas mereka.
Polis meminta platform media sosial termasuk Meta dan X menghapuskan kandungan yang disifatkan berunsur penghinaan serta dimanipulasi menyasarkan Modi.
“Negara ini dan dunia menyaksikan apa yang berlaku di Jantar Mantar. Sebahagian anak muda yang tidak bertanggungjawab melontarkan penghinaan keji.
“Perkataan yang digunakan tidak mencerminkan masyarakat bertamadun, bukan sahaja ditujukan kepada saya, malah melibatkan ibu saya yang telah meninggal dunia. Saya mahu memaafkan mereka,” kata Modi menerusi video dimuat naik di Instagram kelmarin.
Modi turut berkata, kesilapan yang dilakukan ketika usia muda sepatutnya diperbetulkan melalui bimbingan, bukan tindakan undang-undang, merujuk kes polis difailkan terhadap beberapa penunjuk perasaan.
Demonstrasi yang bermula bulan lalu itu pada awalnya tercetus akibat kemarahan terhadap isu kebocoran kertas peperiksaan.
Namun, bantahan tersebut berkembang terhadap isu pengangguran dan tadbir urus kerajaan, sehingga membawa kepada peletakan jawatan Menteri Pendidikan, Dharmendra Pradhan.
Sejak demonstrasi bermula, Modi semakin aktif menggunakan Instagram bagi berkomunikasi secara terus dengan golongan muda.- AFP
The post Modi maafkan penunjuk perasaan appeared first on Utusan Malaysia.


