.jpg)
KUALA LUMPUR - Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai kewujudan ‘Bantuan eMADANI RM1,700’ yang kononnya ditawarkan kepada suri rumah, ibu tunggal dan warga emas.
Dalam kenyataan hari ini, MOF menegaskan, maklumat berkenaan adalah palsu dan menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan dakwaan tersebut.
Kementerian itu turut mengingatkan orang ramai agar tidak mengklik pautan mencurigakan atau memberikan maklumat peribadi dan perbankan melalui laman sesawang atau akaun yang tidak disahkan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpedaya, tidak mengklik sebarang pautan mencurigakan dan tidak berkongsi maklumat peribadi atau perbankan melalui laman sesawang atau akaun yang tidak dibenarkan,” menurut kenyataan itu.
MOF pada masa sama menggesa rakyat Malaysia supaya membuat semakan terlebih dahulu mengenai sebarang maklumat berkaitan bantuan dan inisiatif kerajaan menerusi saluran rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
“Semak dahulu. Jangan mudah percaya. Jangan sebarkan maklumat palsu,” katanya.
Amaran itu dikeluarkan susulan penyebaran dakwaan di media sosial yang kononnya menawarkan bantuan kewangan kepada suri rumah, ibu tunggal dan warga emas menerusi kementerian berkenaan.
MOF sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya berwaspada dan hanya merujuk sumber rasmi kerajaan bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai program bantuan serta inisiatif kerajaan yang lain. - Getaran, 17 Ogos 2026

