
KETIKA umat Islam di seluruh negara meraikan Syawal dengan penuh kegembiraan, suasana berbeza menyelubungi komuniti Sekolah Kebangsaan Telok Panglima Garang yang dikejutkan dengan berita pemergian seorang murid Tahun Empat.
Mangsa, Muhammad Danish Farish, dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami demam panas yang dipercayai berpunca daripada serangan strok haba, sekali gus meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarga dan warga sekolah.
"Assalamualaikum. Saya hendak maklumkan yang murid SKTPG meninggal dunia petang semalam.
"Meninggal dunia di Kedah dan akan dikebumikan di sana.
"Nama murid ialah Muhammad Danish Farish Dahlan, kelas 4 Sukma.
"Sebab kematian, demam panas (kemungkinan strok haba), al-Fatihah," titpnya pada Isnin.
Sementara itu, individu dipercayai keluarga Allahyarham berkongsi catatan pilu mendoakan kesejahteraan si kecil.
"Al-Fatihah buat anak abah. Semoga anak abah tenang di alam sana. Terima kasih kepada yang mendoakan anak saya," tulis akaun Farhan Farish.
Hantaran berkenaan menerima ucapan takziah daripada warga maya yang rata-rata mendoakan ketabahan keluarga.
"Salam takziah tuan, anak saya selalu bermain dengan anak tuan (di sekolah)."
"Salam takziah encik dan isteri , semoga seluruh keluarga tabah menghadapi dugaan ini. Al-Fatihah buat arwah."
Terdahulu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mendedahkan 15 kes berkaitan cuaca panas dilaporkan setakat ini bagi 2026, termasuk tiga kes strok haba dan satu kes kematian melibatkan seorang kanak-kanak yang tertinggal dalam kenderaan.

Dzulkefly menggesa orang ramai agar tidak meninggalkan anak-anak atau sesiapa sahaja di dalam kenderaan tanpa pengawasan walaupun untuk seminit.
Peka tanda-tanda awal strok haba seperti berikut:
i-Pening berpanjangan
ii-Rasa dahaga luar biasa
iii-Suhu badan semakin meningkat
Sekiranya ada tanda-tanda ini, amalkan langkah-langkah pencegahan segera berikut:
a) Berada di tempat yang teduh
b)Banyakkan minum air kosong
c)Sejukkan badan dengan segera
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan mememaklumkan status cuaca panas di Padang Terap, Kedah berada pada tahap dua (gelombang haba) dengan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius!
Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia berada pada tahap satu (berjaga-jaga) termasuk di seluruh Perlis serta kawasan Baling, Sik, Pendang, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pulau Langkawi, Kuala Muda dan Bandar Baharu di Kedah.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Timur Laut (Pulau Pinang), Hulu Perak dan Kuala Kangsar (Perak), Jerantut (Pahang) dan Rembau (Negeri Sembilan).
Sekadar info, tahap gelombang haba ialah suhu maksimum harian yang berada antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut dan bagi tahap berjaga-jaga pula, suhu maksimum harian antara 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Sumber: Facebook, Sinar Harian, Bernama
