Mohamad Rafie dakwa namanya gugur atas arahan Rafizi, Aminuddin

Politics
29 Jul 2023 • 2:08 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohamad Rafie (tengah) diapit oleh Tengku Zamrah (kiri) dan Muhammad Ghazali.

image is not available
Mohamad Rafie ditemani isteri ketika hadir ke Pusat Penamaan Calon di Kompleks Belia dan Sukan Paroi.

SEREMBAN - [KEMAS KINI] Penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek mendakwa namanya digugurkan atas arahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan Naib Presiden PKR, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, perkara itu dimaklumkan oleh Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu lalu.

"Selepas kenyataan yang saya keluarkan pada 25 Julai lalu, Anwar telah hubungi saya mengarahkan supaya saya tidak bertanding dan meminta menyokong calon pilihan beliau atas alasan Rafizi dan Aminuddin tidak menyokong pencalonan saya.

"Saya telah maklumkan yang beliau adalah Presiden malah Perdana Menteri, kenapa perlu dengar dua individu itu yang sememangnya bermain politik dan berniat menjatuhkan saya," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon DUN Ampangan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi di sini pada Sabtu selepas diumumkan sebagai calon Bebas.

Mohamad Rafie berkata, beliau membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas dengan simbol pokok yang melambangkan keharmonian.

Malah beliau berkata, mahu mengubah naratif politik hari ini supaya mana-mana individu yang berkelayakan berani tampil menawarkan diri sebagai calon dan bukan hanya berpaut pada sesuatu parti saja.

Ini kerana katanya, kebanyakan parti politik hari ini dilihat bermasalah kerana dicorakkan dengan cara mengikut arahan ketua atau pemimpin utama dengan mencantas sesiapa dikehendaki.

"Kalau mereka layak dan boleh berkhidmat, mereka boleh tawarkan diri. Tapi dalam konteks negara kita, pemimpin dicorakkan oleh kepartian dan sebab itu kita tengok banyak parti yang rosak," katanya.

Malah beliau mengakui bukan mudah untuknya membuat keputusan bertanding sebagai calon Bebas kerana dirinya kita ibarat menaiki tongkang kecil dalam gelora ombak besar.

"Dulu dalam PKR, saya menaiki kapal yang agak besar walaupun menongkah arus.

"Tapi saya dihubungi ramai pengundi Ampangan yang minta perbetulkan keadaan dan bertanding sebagai calon Bebas," katanya.

Disebab itu beliau berkata, keputusan nekadnya itu lebih banyak didorong oleh masyarakat DUN Ampangan yang masih memerlukan khidmatnya untuk terus memajukan kawasan terbabit.